PENGENALAN
Bahasa adalah perantara untuk berkomukasi sesama mereka. Manusia perlu berkomunikasi kerana itulah lumrah kehidupan manusia yang saling memerlukan di antara satu sama lain dalam setiap aspek kehidupan. Tanpa keupayaan berbahasa, adalah sukar seseorang itu hendak meluahkan perasaannya, menyampaikan ideanya kepada orang lain, dan sebagainya.
Bab ini akan membincangkan tentang masalah bahasa dan komunikasi yang meliputi masalah bahasa, masalah pertuturan, dan masalah kefasihan. Perbincangan akan tertumpu kepada jenis masalah, punca masalah dan cara membantu kanak-kanak yang menghadapai masalah tersebut.
Bagi anda yang telah mengambil mata pelajaran HBSL 1103: Pengenalan Pendidikan Kan ak-kanak Masalah Pembelajaran, anda akan dapati bahawa tajuk ini adalah sama dengan tajuk 3 (Kanak-kanak Masalah Komunikasi) dalam mata pelajaran tersebut. Ini kerana tajuk ini membicarakan perkara yang sama dan ditulis oleh penulis yang sama juga.
OBJEKTIF
Pada akhir bab ini, anda seharusnya dapat:
1. membezakan antara masalah bahasa, pertuturan, dan kefasihan;
2. mengenal pasti punca masalah bahasa, pertuturan, dan kefasihan; dan
3. menjelaskan cara-cara yang dapat dilakukan untuk membantu mengatasi masalah
bahasa, pertuturan, dan kefasihan
.
GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK
Masalah Bahasa dan Komunikasi
Bahasa Pertuturan Kefasihan
- jenis masalah - jenis masalah - jenis masalah
- punca - punca - punca
- cara membantu - cara membantu - cara membantu
2.1 Masalah Bahasa
Definisi bahasa yang telah dibincangkan dalam tajuk 1 dengan jelas menyatakan bahawa bahasa adalah merupakan alat untuk manusia berkomunikasi. Oleh itu ketidakupayaan berbahasa akan menjejaskan keberkesanan komunikasi seseorang.
The National Information Center for Children and Youth with Disabilities (1996), USA telah mendefinisikan masalah bahasa sebagai;
“… adalah kelemahan dalam keupayaan untuk memahami
dan/atau menggunakan perkataan-perkataan mengikut konteks,
sama ada secara verbal dan bukan verbal. Di antara ciri masalah
bahasa termasuklah penggunaan perkataan dan maknanya yang
kurang sesuai, tidak upaya menyampaikan idea, bentuk tatabahasa
yang kurang sesuai, kurang perbendaharaan kata, dan tidak
upaya mengikut arahan.”
The American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) (1982) telah memberikan definisi dan jenis masalah bahasa yang lebih perinci seperti berikut;
“Masalah bahasa adalah kecacatan atau perkembangan
pemahaman yang menyimpang atau kandungan bahasa atau
penggunaan dalam pertuturan, tulisan (atau kedua-duanya),
atau sistem simbol yang lain. Masalah tersebut mungkin melibatkan
satu atau gabungan mana-mana aspek bahasa berikut; (1) bentuk
bahasa ( sistem fonologi, morfologi, dan sintaksis), (2) kandungan
bahasa ( sistem semantik), atau (3) fungsi bahasa dalam
komunikasi (sistem pragmatik).”
- Bentuk bahasa
a. Fonologi adalah sistem bunyi bahasa dan peraturan linguistik yang menentukan kombinasi bunyi.
b. Morfologi adalah peraturan linguistik yang menentukan struktur perkataan dan pembentukan perkataan daripada unsur makna yang asas (morfem).
c. Sintaksis adalah peraturan linguistik yang menentukan susunan dan gabungan perkataan-perkataan bagi membentuk ayat dan hubungan di antara unsur dalam lingkungan ayat tersebut.
- Kandungan Bahasa
a. Semantik adalah sistem psikolinguistik yang mencorak kandungan pertuturan, kehendak, dan makna perkataan dan ayat.
- Fungsi Bahasa
a. Pragmatik adalah sistem sosiolinguistik yang mencorak penggunaan bahasa
dalam komunikasi, yang mungkin disampaikan secara pergerakan atau
percakapan.
Berdasarkan definisi masalah bahasa di atas, masalah-masalah yang dihadapi adalah seperti berikut;
i. Fonologi
Kanak-kanak dengan masalah fonologi berkemungkinan menghadapi
masalah dalam bahasa lisan. Mereka kerap membuat kesalahan
menggantikan bunyi dalam perkataan seperti “nama” untuk “mama”, “blink”
untuk drink”.
ii. Morfologi
Kecelaruan yang melibatkan morfologi termasuklah penggunaan imbuhan
yang luar biasa, struktur ayat yang salah, dan penggunaan “tenses” yang
salah (bahasa Inggeris).
iii. Sintaksis
Masalah yang berkaitan sintaksis (ayat) pula melibatkan kesalahan
tatabahasa yang boleh memberi kesan dalam menyusun dan
menyampaikan pendapat yang kompleks.
iv. Semantik
Masalah semantik dapat dilihat melalui perkembangan perbendaharaan kata
yang lemah, menggunakan makna perkataan yang tidak sesuai, dan tidak
berupaya memahami makna perkataan.
v. Pragmatik
Masalah berkaitan pragmatik melibatkan ketidakupayaan kanak-kanak
memahami atau menggunakan bahasa dalam konteks atau perbualan dalam
situasi yang berbeza.
Aktiviti 2.1
Berdasarkan pengalaman anda sebagai guru, bincangkan masalah bahasa yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar anda dengan memberi contoh yang sesuai bagi setiap aspek bahasa di atas.
2.1.1 Punca Masalah Bahasa
Antara punca masalah bahasa adalah:
- Kelewatan bahasa
- Aphasia
Aphasia merujuk kepada masalah bahasa akibat daripada ketidakupayaan untuk membentuk, atau memperoleh semula, dan memberi makna kepada simbol-simbol arbitrari bahasa (Holland & Reinmuth, 1982). Aphasia berpunca daripada kerosakan otak. Bagi kanak-kanak kerosakan otak berpunca akibat kecederaan otak semasa lahir atau ketumbuhan (tumor) otak. Manakala bagi orang dewasa pula mungkin akibat daripada strok atau kecederaan akibat kemalangan.
- Gangguan proses auditori pusat (Central auditory processing disorders /CAPD)
Semasa berkomunikasi, telinga dan otak akan menerima maklumat auditori (pendengaran) dan menterjemahkannya. Kanak-kanak yang mempunyai CAPD tidak mengalami masalah pendengaran (pekak), tetapi atas sebab tertentu otak tidak dapat menterjemah maklumat auditori yang diterima daripada telinga dengan baik.
Setakat ini anda diharap sudah dapat memahami tentang masalah bahasa secara am. Anda perlu membuat bacaan tambahan untuk menambahkan lagi maklumat dan pengetahuan anda tentang tajuk ini.
Apakah masalah bahasa yang dihadapi oleh kan ak-kanak masalah pembelajaran?
Masalah bahasa yang dihadapi oleh kan ak-kanak masalah pembelajaran secara khusus adalah seperti berikut:
i. mengingat kembali perkataan
ii. menyatakan perkara atau bentuk yang abstrak
iii. memahami perkataan yang mempunyai pelbagai makna
iv. menggunakan ayat yang betul dan lengkap
v. meminta penjelasan untuk mesej yang kurang difahami
vi. menghasilkan mesej yang kompleks dari segi sintaksis
vii. memaklumkan sesuatu maklumat kepada orang lain
viii. mempelbagaikan gaya berkomunikasi untuk menyesuaikannya dengan pendengar yang berbeza
Latihan 2.2
Dengan memberi contoh setiap masalah bahasa yang ditunjukkan oleh kanak-kanak masalah pembelajaran, bincangkan langkah-langkah pengajaran yang anda boleh lakukan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut.
2.1.2 Intervensi Pengajaran Bahasa
Kanak-kanak yang dikenal pasti menghadapi masalah bahasa hendaklahlah diberi perhatian untuk dipulihkan dengan segera. Tindakan awal untk membantu memulihkan atau mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak ini dikenali sebagai intervensi. Apabila mengajar bahasa kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak masalah pembelajaran, guru hendaklah menggunakan beberapa teknik pengajaran yang khusus bagi memenuhi keperluan bahasa kanak-kanak tersebut. Di antara intervensi pengajaran bahasa yang mungkin dapat membantu kanak-kanak mengatasi masalah penguasaan bahasa mereka adalah seperti berikut:
i. Ajar bahasa di dalam situasi
Mengajar bahasa di dalam situasi yang diadakan akan membantu kanak-kanak memahami isi pelajaran dan seterusnya menguasai kemahiran bahasa yang diajar. Contoh: membantu ayah di kebun.
ii. Ikut urutan perkembangan bahasa normal
Pengajaran bahasa hendaklah berdasarkan kemampuan berbahasa kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka.
iii. Guna strategi pengajaran yang khusus dan berkesan ketika memperkenalkan konsep baru
Pelbagai strategi pengajaran khusus boleh digunakan untuk mengajar kanak-kanak masalah pembelajaran seperti teknik REBUS, kaedah VAKT, kaedah fonik dan sebagainya.
iv. Bercakap tentang apa yang mereka fikir atau lakukan
Kanak-kanak mesti dilatih bercakap dan menyampaikan buah fikiran mereka. Satu cara mudah merangsang mereka bercakap adalah dengan meminta mereka bercakap tentang apa yang mereka sedang fikirkan atau perkara yang mereka sedang lakukan.
v. Terangkan apa yang orang lain lakukan
Kemahiran menerang boleh ditingkatkan dengan cara meminta mereka menceritakan perkara yang dilakukan oleh orang lain. Menceritakan apa yang dilihat adalah lebih mudah dilakukan oleh kanak-kanak masalah pembelajaran.
vi. Gunakan contoh yang betul untuk memberikan latihan bagi kemahiran bahasa yang khusus
Menunjukkan contoh yang betul atau modeling digunakan supaya kanak-kanak dapat meniru kemahiran bahasa yang betul. Kemahiran bacaan mekanis misalnya boleh dajar dengan cara guru menunjukkan cara bacaan yang betul atau menayangkan rakaman pembaca berita TV membaca berita.
vii. Gunakan aktiviti harian dalam menyediakan latihan kemahiran-kemahiran bahasa dalam lingkungan konteksnya
Aktiviti harian kanak-kanak sama ada di rumah atau di sekolah boleh dimanfaatkan untuk menyediakan pengalaman-pengalaman bahasa yang boleh mereka pelajari. Selain itu, aktiviti harian pelajar juga boleh digunakan sebagai bahan atau tema pengajaran bahasa.
Dalam merangka intervensi pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada kanak-kanak masalah pembelajaran, aktiviti hendaklah berfokuskan pelajar.
Latihan 2.3
Apakah yang dimaksudkan dengan intervensi awal?
Apakah bentuk intervensi awal yang boleh dilakjukan untk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah bahasa.
2.2 Masalah Pertuturan
Pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan memerlukan koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Pertuturan melibatkan simbol-simbol yang diwakili oleh bunyi dalam bentuk bahasa yang formal bertujuan untuk melahirkan idea dan bertukar-tukar fikiran.
2.2.1 Unsur-unsur pertuturan
Pertuturan mempunyai empat unsur, iaitu suara, bunyi atau talun (resonance), artikulasi, dan kelancaran.
a. Suara terbentuk dalam tiga komponen iaitu (1) pic (pitch) yang merujuk kepada tinggi rendah nada suara, (2) kekuatan, atau kenyaringan suara, dan (3) kualiti suara.
b. Bunyi atau resonan adalah aspek bunyi-bunyi pertuturan dan ada kalanya dianggap sebagai sebahagian daripada suara. Ada individu yang mempunyai suara yang kuat dan ada pula yang suaranya lemah atau pun terlalu nyaring.
c. Artikulasi melibatkan gigi, lelangit, bibir, lelangit, dan pergerakan lidah untuk mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa.
d. Kelancaran adalah keupayaan bertutur tanpa teragak-agak atau tersekat-sekat yang boleh mengganggu komunikasi.
2.2.2 Kategori masalah pertuturan
Apakah yang dikatakan pertuturan normal?
Pertuturan yang normal merujuk kepada keupayaan mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa melalui mulut, dilafazkan dengan baik, mempunyai kualiti semula jadi, rentak dan kadar yang baik, dan mempunyai perbendaharaan kata yang mencukupi sesuai dengan peringkat umur.
Masalah pertuturan boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu masalah artikulasi, masalah suara, dan masalah kelancaran.
i. Masalah artikulasi
Masalah artikulasi atau gangguan artikulasi adalah pengeluaran bunyi-bunyi pertuturan yang abnormal, sehingga menyebabkan percakapan menjadi tidak tepat atau percakapan yang tidak sesuai. Masalah artikulasi terdiri daripada perkara-perkara berikut:
- penggantian
- pengguguran
- pengubahan, dan
- penambahan
Penggantian bunyi terjadi apabila bunyi tertentu dalam sesuatu perkataan digantikan dengan bunyi yang lain, misalnya “malan” untuk “makan”” wabbit” untuk “rabbit”. Kesilapan ini sering berlaku kepada kanak-kanak yang masih belum matang.
Pengguguran bunyi pula melibatkan pengguguran atau menghilangkan sesuatu bunyi konsonan. Pengguguran boleh berlaku di permulaan, tengah, atau akhir perkataan, misalnya “idung” untuk “hidung”, “besa” untuk “besar”, dan lain-lain.
Pengubahan bunyi terjadi apabila sebutan asal diubah sehingga boleh menghilangkan maknanya. Masalah ini ketara dalam penyebutan bahasa Inggeris misalnya perkataan “sip” disebut “shlip”. Sekiranya untuk perkataan “susah”, konsonan “s” disebut dengan hembusan angin yang kuat atau keterlaluan boleh mengubah bunyi perkataan tersebut, misalnya “sssyusyah”
Penambahan bermaksud menambah bunyi tertentu dalam perkataan seperti “bawa” disebut “bawah atau bawuah”, “animal” disebut “ ammanimal” atau “ammaminal”.
a) Punca masalah artikulasi
Masalah artikulasi boleh dikaitkan dengan beberapa faktor yang menyebabkan gangguan artikulasi. Di antaranya adalah seperti sumbing bibir atau sumbing lelangit, kecacatan lidah, penyakit ataupun kecacatan pada hidung atau tekak, kelumpuhan otak, peniruan pertuturan yang salah ketika mula belajar bercakap sewaktu kanak-kanak, dan juga faktor persekitaran.
Sumbing, iaitu kecacatan lelangit atau bibir ialah kerenggangan tulang mulut, tisu lembut, dan struktur bahagian atas bibir yang mengganggu pengeluaran udara melalui hidung dan menghasilkan suara yang sengau.
Masalah pertuturan juga boleh berpunca daripada kelumpuhan otak (brain damage) yang mengawal sistem saraf tunjang dan pergerakan otot alat pertuturan. Kanak-kanak akan menjadi sukar menerima atau mengeluarkan bunyi atau suara yang betul.
Ketika masih bayi lagi, kanak-kanak belajar bertutur dengan meniru pertuturan orang dewasa. Kebiasaannya sebutan perkataan sengaja tidak lengkap bagi memudahkan mereka meniru sebutan perkataan. Mereka juga menyebut perkataan dengan pelat, misalnya “nacik” untuk “nasi”, “be’ ak” untuk “berak” dan sebagainya. Sekiranya kesilapan sebutan ini tidak dibetulkan, maka kanak-kanak tersebut akan mengalami masalah menyebut perkataan dengan betul.
Faktor persekitaran juga mempengaruhi keupayaan bertutur kanak-kanak misalnya persekitaran keluarga yang tidak banyak bercakap, menggunakan dua atau lebih bahasa , tekanan emosi, atau juga kanak-kanak yang terbiar tanpa bimbingan orang dewasa sebagai model..
b) Strategi Intervensi Masalah Artikulasi
Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membantu kan aka-kanak yang menghadapi masalah artikulasi sebelum masalah itu berlarutan dan memberi kesan yang negatif kepada kan ak-kanak tersebut. Di antaranya adalah seperti terapi pertuturan, pendekatan interaktif, dan komunikasi tambahan (augmented communication).
Terapi Pertuturan
Ahli terapi pertuturan akan menjalankan terapi bersama kanak-kanak secara ind ividu, dalam kumpulan kecil, atau secara terus di dalam kelas untuk mengatasi masalah pertuturan kanak-kanak. Di antara strategi yang digunakan adalah:
· aktiviti intervensi bahasa iaitu ahli terapi pertuturan akan berinteraksi dengan kan ak-kanak dan bercakap dengan mereka. Bahan-bahan seperti gambar, buku, objek, atau peristiwa yang berlaku digunakan untuk merangsang perkembangan bahasa kanak-kanak . Ahli terapi juga akan menunjukkan cara penyebutan yang betul dan menggunakan kaedah latih tubi untuk membina kemahiran bertutur dan juga bahasa.
· Terapi artikulasi (alat pertuturan), iaitu melibatkan artikulasi, penghasilan bunyi, dan latihan-latihan melalui tunjuk cara penyebutan yang betul kepada kan ak-kanak. Terapi ini dilaksanakan melalui aktiviti permainan. Misalnya ahli terapi akan menunjukkan cara menyebut sesuatu huruf, misalnya “ r ” . Selain itu dia juga akan menunjukkan cara bagaimana lidah perlu digerakkan untuk menghasilkan bunyi “ r “sebut.
Pendekatan Interaktif
Melalui pendekatan interaktif ini, ahli intervensi yang mungkin terdiri daripada ibu bapa, guru pendidikan khas, atau ahli terapi pertuturan akan cuba menggunakan sifat semula jadi kan ak-kanak untuk bercakap tentang apa yang dia sedang lakukan, merancang untuk lakukan, ataupun perkara yang dia ingin lakukan. Sesi pemulihan ini dilakukan semasa kanak-kanak sedang bermain, makan, atau semasa pergi ke restoran dengan menggunakan bahasa dan sebutan yang betul. Menurut Bloom (1991), tujuan pendekatan ini adalah untuk merangsang kanak-kanak supaya kan ak-kanak banyak. Justeru, sebutan mereka akan menjadi lebih tepat di samping meningkatkan lagi perbendaharaan kata mereka.
Komunikasi Tambahan
ii. Masalah suara
Masalah atau gangguan suara melibatkan kualiti bunyi (akustik) suara yang tidak normal atau luar biasa yang dihasilkan ketika kanak-kanak bercakap. Semua suara berbeza dari segi nada, kualiti suara, dan punca suara dihasilkan. Suara kurang menyenangkan apabila dikeluarkan secara sengau, serak atau garau (hoarseness), dan berbisik. Semua ini akan mengganggu komunikasi yang berkesan.
Pertuturan sengau terhasil apabila udara dari paru-paru yang sepatutnya keluar melalui rongga mulut telah keluar mengikut rongga hidung ketika bercakap. Keadaan ini menjadikan suara sengau atau seperti hidung tersumbat . Oleh itu kanak-kanak sumbing akan menyebut kebanyakan konsonan secara sengau kecuali bunyi vokal dan bunyi-bunyi konsonan “n”, “m”, dan “ng “.
Masalah suara akibat jeritan, sorakan yang terlalu kuat hanyalah bersifat sementara dan akan pulih apabila tekak diubati dan kekuatan bunyi pertuturan dikurangkan.
Guru akan dapat mengenal pasti pelajarnya yang menghadapi masalah suara berdasarkan petunjuk-petunjuk berikut:
i. suara sengau
ii. suara orang yang sesak nafas
iii. suara berbunyi kasar atau suara seperti orang menarik nafas sambil
bercakap
iv. suara sangat perlahan
v. bercakap seperti berlagu
vi. bercakap senada (monotone voice)
vii. pic (pitch) suara biasanya tinggi atau rendah
viii. corak penekanan perkataan dalam ayat yang berlainan daripada biasa, dan
ix. bersusah payah menyebut perkataan ( cth: mengejip mata, muka berkerut, menggenggam tangan, dsb)
Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah suara, mereka boleh dipulihkan melalui intervensi terapi pertuturan seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Latihan 2.4
Dapatkan rajah alat artikulasi (pertuturan) dan bincangkan bagaimana setiap bahagian artikulasi itu memain peranan dalam mengeluarkan bunyi-bunyi huruf.
iii. Masalah kelancaran
Gangguan kelancaran melibatkan aliran pertuturan yang mempengaruhi kadar dan kelicinan pertuturan seseorang. Gagap adalah bentuk gangguan kelancaran pertuturan yang paling biasa. Seseorang dikatakan gagap apabila menyebut sesuatu perkataan berulang-ulang, tersekat-sekat, dan diikuti ketegangan otot tekak. Keadaan ini terjadi akibat gangguan pernafasan yang berpunca daripada penyelarasan otot pertuturan yang tidak sempurna. Gagap berlaku secara berselang-seli di antara pertuturan normal dan gagap mengikut kelonggaran dan ketegangan otot pertuturan.
Terdapat beberapa fakta yang berkaitan dengan gagap. Di antaranya adalah:
- gagap sesuatu yang mesti berlaku kepada setiap kanak-kanak (2-4 tahun), tetapi akan beransur-ansur pulih setelah melalui pengalaman interaksi dengan persekitaran,
- Kaum lelaki lebih ramai gagap berbanding wanita, dan
- gagap boleh diturunkan melalui pertalian genetik keluarga.
Individu yang gagap akan menunjukkan ciri-ciri tertentu pertuturannya. Namun dari segi fizikal individu yang gagap tidak ada perbezaan dengan individu normal. Di antara ciri individu yang gagap adalah seperti berikut:
- Pertuturan tidak lancar kerana secara tidak sengaja kerap mengulang-ulang menyebut perkataan dan pemanjangan bunyi perkataan .
- Melakukan pengulangan dan pemanjangan sebutan satu huruf yang sama .
- Gagal mengaitkan perkataan dengan emosi.
- Cuba menyembunyikan masalah gagap dengan mengubah nada dan kadar pertuturan, memejamkan mata, mengulang suku kata, perkataan atau frasa, dan menggerakkan tangan semasa bertutur.
a) Punca masalah gagap
Banyak faktor yang dikaitkan sebagai punca kepada masalah gagap. Berdasarkan pendapat daripada beberapa penulis, punca masalah gagap dapatlah dirumuskan seperti berikut.
- Ketidakstabilan mekanisme neuromuscular untuk pertuturan ketika peringkat awal kanak-kanak. Ketika kanak-kanak sudah mula mahu bercakap, otot-otot pertuturan masih belum bersedia dan tidak stabil. Keadaan ini menyebabkan pertuturan menjadi tersekat-sekat dan berulang-ulang.
- Keadaan persekitaran juga boleh menyebabkan gagap terutamanya persekitaran rumah yang tidak selamat dan tidak menggembirakan serta hubungan emosi yang tidak cukup di antara anak dan ibu bapa.
- Keadaan fizikal yang lemah akibat kekurangan zat makanan, dan mempunyai masalah kesihatan.
- Kejutan secara tiba-tiba seperti kemalangan, kematian orang tersayang terutamanya ibu atau bapa, pengalaman yang menakutkan, dan menghidap sesuatu penyakit.
- Peniruan pertuturan yang salah semasa proses mula belajar bertutur.
- Sekiranya sejarah keluarga mempunyai ahli yang gagap, besar kemungkinan masalah gagap akan diturunkan kepada anak-anak mereka.
- Seseorang yang mahir tangan kiri boleh menjadi gagap sekiranya dipaksa menggunakan tangan kanan untuk menulis atau membuat sebarang kerja.
b) Panduan mengurangkan masalah gagap
Morley M.E. (1972) telah memberikan lima prinsip rawatan untuk membantu individu gagap mengatasi masalah mereka.
- Menyesuaikan diri dengan gagap
Ramai individu gagap berasa yang mereka adalah berlainan daripada orang lain hasil daripada pengalaman-pengalaman dan reaksi orang lain terhadap pertuturan mereka yang gagap. Sedarkan mereka bahawa ramai orang yang kononnya tidak gagap sebenarnya mengalami masalah bercakap tersekat-sekat dan mungkin gagap pada masa-masa tertentu. Mereka perlu mengakui yang mereka gagap dan menerima hakikat ini secara positif tanpa rasa takut dan beremosi.
2…Terapi mengurangkan ketegangan.(Relaxation therapy)
Rawatan terapi mengurangkan ketegangan ini akan mengurangkan ketegangan fizikal dan mental. Sekiranya diamalkan selalu akan meningkatkan keselesaan dan ketenangan mental yang akan meningkatkan kecekapan dan keyakinan untuk menjalani kehidupan tanpa tekanan.
- Latihan-latihan yang membantu ke arah mengawal petunjuk-petunjuk
Gagap.
Latihan hendaklah yang boleh menyumbang ke arah pengalaman
pertuturan yang lancar dan latihan yang membantu mereka mengawal
gagap ketika berlaku.
- Perbincangan, cadangan, dan tugasan
Pada setiap kali rawatan, masalah dan situasi tertentu akan dibincangkan. Misalnya yang berkaitan dengan penggunaan telefon, membeli tiket bas, dan berbagai-bagai masalah dan situasi lagi. Cadangan diberi bagaimana individu itu mengatasi masalah yang dihadapinya dan menjadikan situasi gagap sebagai latihan untuk melaksanakan cadangan-cadangan yang diberi.
- Terapi kumpulan
Apabila tiba masa yang sesuai, individu gagap akan menghadiri sesi terapi secara berkumpulan. Di sini dia akan bertemu dengan orang lain yang menghadapi masalah yang sama dan berkongsi pengalaman masing-masing.
Intervensi untuk memulihkan masalah gagap perlulah dimulai pada peringkat awal masalah gagap ditunjukkan sebelum menjadi lebih teruk.
Latihan 2.5
Apakah masalah sosio-emosi yanhg dihadapi oleh individu yang mengalami masalah gagap. Bincangkan.
2.2.3 Kesimpulan
Kemahiran bahasa sangat sukar dikuasai oleh kanak-kanak masalah pembelajaran. Selain bermasalah menguasai komponen bahasa seperti bentuk, kandungan, dan penggunaannya, terdapat ramai juga kanak-kanak masalah pembelajaran yang mengalami masalah dalam pertuturan. Masalah bahasa dan komunikasi tidak boleh dipandang ringan kerana ketidakupayaan menyampaikan mesej dengan tepat dan jelas disebabkan gangguan pertuturan atau masalah bahasa akan menyebabkan kanak-kanak berasa tertekan, malu, rendah diri, takut berhadapan dengan orang lain, dan mengasingkan diri.. Apabila kanak-kanak ini memasuki alam persekolahan masalah ini akan menjejas pencapaian akademik dan kemahiran sosial mereka.
Sebagai mana yang telah dibincangkan sebelum ini, masalah bahasa dan komunikasi boleh diatasi melalui pendekatan yang terancang dengan mengambil kira setiap ketidakupayaan yang kanak-kanak alami. Pelbagai pihak yang berkaitan hendaklah berganding bahu dan bekerjasama sebagai satu pasukan yang terdiri daripada ibu bapa, guru, ahli terapi pertuturan, pentadbir sekolah, doktor, dan juga kaunselor. Intervensi awal adalah sangat penting untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah pertuturan dan bahasa mereka sebelum masalah itu menjadi satu kebiasaan dan sukar dipulihkan.
Rumusan
1. Masalah bahasa adalah kecacatan atau perkembangan pemahaman yang
menyimpang atau kandungan bahasa atau penggunaan dalam pertuturan, tulisan
(atau kedua-duanya), atau sistem simbol yang lain.
2. Masalah tersebut mungkin melibatkan satu atau gabungan mana-mana aspek bahasa
berikut; (1) bentuk bahasa ( sistem fonologi, morfologi, dan sintaksis), (2) kandungan
bahasa ( sistem semantik), atau (3) fungsi bahasa dalam komunikasi (sistem
pragmatik
3. Antara punca masalah bahasa adalah kelewatan bahasa, aphasia, dan gangguan
proses auditori pusat.
4. Masalah pertuturan boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu artikulasi,
suara, dan kelancaran.
5. Pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan memerlukan
koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Masalah pertuturan
boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar, iaitu masalah artikulasi, masalah suara,
dan masalah kelancaran.
Kata Kunci
Komunikasi
Artikulasi
Terapi
Intervensi
Mekanisme neuromuskular
Bacaan/Rujukan
Jalongo. M.R., (1992). Early Childhood Language Arts. Boston : Allyn and Bacon.
Kirk, Gallgher, & Annastasiow, (1993). Educating Exceptional Children 7th . ed. Boston :
Houghton Mifflin Company.
Reed. V.R., (1994). An Introduction to Children with Language Disorders. New York :
0 ulasan:
Catat Ulasan