PERINGKAT KEMAHIRAN MEMBACA
Konsep :
Goodman, 1976 menjelaskan bahawa membaca ialah proses seseorang itu membina semula mesej yang dienkod oleh penulis dalam bahasa yang bertulis. Ia merupakan suatu proses bahasa yang aktif dan amat bergantung kepada ramalan.
Membaca melibatkan dua jenis maklumat:
Maklumat visual : bahan bercetak yang menjadi medium
Maklumat nonvisual : produksi minda yang terkandung dalam sesebuah teks yang dibaca
Alasan/Tujuan
· Membaca dengan cara yang berlainan untuk tujuan berlainan
· Membaca kerana sebab-sebab autentik
· Membaca sebagai satu proses komunikasi
Proses Membaca
Membaca menurut psikolinguistik kognitif
Keupayaan membaca seseorang bermula sejak dilahirkan (dibekalkan LAD) dan mempelajari dunia / alam sekeliling melalui pancainderanya
Proses membaca bermula dengan makna dan berakhir dengan makna
Hala pertama ialah dari lambang ke otak dan hala kedua dari otak ke lambang tulisan
Faktor yang terlibat :
1. lambang bertulis
2. penglihatan
3. ingatan jangka pendek
4. bahasa dan tatabahasa
5. erti
6. pengetahuan
Kesediaan Membaca
Apabila murid baru masuk ke tahun satu, guru hendaklah mengenal pasti kebolehan dan keupayaan murid dalam kemahiran membaca. Guru perlu membuat ujian atau penilaian untuk menentukan tahap kebolehan membaca dalam kalangan murid berkenaan. Guru harus menyedari bahawa murid yang memasuki tahun satu terdiri daripada murid yang datangnya daripada latar belakang keluarga serta sosioekonomi yang berbeza. Oleh itu, kebolehan dan kemahiran membaca dalam kalangan mereka kemungkinan tidak sama.
Sebahagian besar murid khususnya yang tinggal di bandar telah memasuki tadika dan boleh membaca dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi murid yang tinggal di luar bandar, kebanyakannya tidak memasuki tadika. Murid ini biasanya akan menghadapi masalah membaca apabila mereka berada di sekolah. Bagi mengatasi masalah kemahiran membaca, guru hendaklah memberi perhatian kepada dua perkara yang berikut;
(a) perasaan murid
(b) bahasa murid
Guru hendaklah memberikan pengalaman kepada murid supaya mereka bersedia untuk membaca. Oleh itu, peringkat kesediaan murid ini penting bagi mencapai tujuan yang berikut;
(a) Untuk memberi peluang kepada murid merapatkan dirinya dengan guru. Ini boleh menimbulkan keyakinan mereka.
(b) Supaya dapat menimbulkan kemahiran dan keinginan murid untuk meluaskan lagi pengalamannya yang sedia ada.
(c) Untuk membina tabiat gemar membaca dan menghargai apa yang dibaca.
(d) Melatih murid supaya boleh memerhati sesuatu dengan baik dan cuba
mengecamnya.
Untuk mencapai tujuan ini langkah-langkah yang boleh diambil oleh guru ialah:
(i) Adakan aktiviti yang melibatkan murid seperti menyanyi, berlakon, bercerita dan sebagainya yang menarik hati.
(ii) Banyakkan bermain-main dengan murid misalnya berbual-bual, bersoal jawab dengan cara yang tidak formal.
(iii) Perbendaharaan kata yang difikirkan perlu hendaklah ditambah dari semasa ke semasa secara tidak langsung.
(iv) Bina asas bahasa murid melalui pertuturan. Beri galakan dan pimpinan yang sepatutnya supaya murid mahu bertutur.
Pada peringkat kesediaan ini, guru hendaklah memerhati kesediaan murid sama ada murid telah bersedia untuk membaca atau sebaliknya. Oleh itu, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru bagi menentukan sama ada murid telah bersedia atau belum ialah dengan menjawab soalan-soalan yang berikut;
(a) Bolehkah dia mengecam gambar-gambar atau warna-warna asas serta
membezakannya?
(b) Bolehkah murid itu faham atau dapat mengikuti percakapan orang lain terutama gurunya
(c) Dapatkah dia melihat dengan baik? Kenalkah dia bentuk-bentuk seperti garisan, bulatan dan lain-lain.
(d) Dapatkah dia melahirkan perasaan atau fikirannya?
(e) Bagaimana dengan kesihatannya? Dapatkah dia belajar dengan baik?
(f) Tahukah dia memegang alat baca dan tulis seperti buku, pensel dan sebagainya?
(g) Bagaimana dengan latar belakang keluarganya?
Beberapa faktor yang mempengaruhi kesediaan membaca
1. Keadaan fizikal
(i) penglihatan
(ii) pendengaran
(iii) pertuturan
(iv) umur
(v) jantina
2. Pengalaman dan persekitaran
(i) pendedahan bahan bacaan di rumah
3. Emosi dan motivasi
(ii) adakah kanak-kanak menghadapi masalah emosi?
(iv) adakah kanak-kanak bersikap negatif terhadap buku?
(iv) adakah kanak-kanak menghadapi masalah sosial?
(v) adakah kanak-kanak mempunyai minat tertentu?
4. Kecerdasan dan perkembangan kognitif
(i) daya kecerdasan
(ii) kebolehan mental secara keseluruhan
(iii) adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara perkataan dengan
gambar?
(iv) adakah kanak-kanak dapat melihat perbezaan antara huruf dengan
perkataan?
Prabacaan
Minat membaca sebenarnya bermula sejak kita dilahirkan. Bayi baru lahir belajar mengenai dunia sekeliling mereka dengan mendengar bunyi, nada bunyi dan bahasa percakapan. Ini merupakan persediaan awal untuk mereka belajar mengenali perkataan dan tulisan.
Beberapa cara untuk memupuk minat membaca boleh dilaksanakan bagi bayi sejak mereka dilahirkan. Antaranya,
• Jadikan aktiviti bercerita sebagai aktiviti harian bayi. Masa yang sesuai untuk melakukan aktiviti ini adalah selepas memandikan bayi pada waktu pagi dan semasa waktu makan.
• Bercerita menggunakan rima semasa menyusukan bayi. Bayi suka mendengar suara anda semasa menyusu dan ini dapat menanamkan semangat mendengar cerita. Selain daripada bercerita, bayi juga boleh diperdengar lagu-lagu yang mempunyai rima yang sama.
Contoh :
Bangun pagi-pagi
Terus pergi mandi
Sambil gosok gigi
Gigi putih berseri
Aktiviti prabacaan
Contoh aktiviti prabacaan yang boleh dijalankan di sekolah ialah ;
a. mengenal gambar yang berlainan
Gambar meja Gambar meja gambar meja gambar kerusi gambar meja
Arahan : Bulatkan gambar yang berlainan
b. mengenal bentuk yang berlainan
Bentuk bujur bentuk bujur bentuk bujur bentuk bulat bentuk bujur
Arahan : Bulatkan bentuk yang berlainan
Pengalaman bayi melakukan aktiviti prabacaan merupakan proses untuk menyediakan seseorang kanak-kanak kepada peringkat pramembaca. Oleh itu, tahap ini merupakan satu tempoh masa menyediakan murid untuk membaca. Penyediaan dilakukan dengan memberi mereka pengalaman, iaitu mengenal dan mengecam sebelum membaca huruf itu. Pada tahap ini murid perlu didedahkan kepada aktiviti yang boleh mendorong mereka mempertingkatkan ketajaman penglihatan dan pendengaran. Penekanan juga perlu diberi kepada pengalaman yang membolehkan murid membentuk kelaziman membaca seperti membaca dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.
KONSEP PENTING DI DALAM PENDENGARAN
Beberapa konsep penting tentang pendengaran, iaitu;
(a) Individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya.
(b) Pendengaran merupakan gabungan daripada segala yang didengar difaham dan diingat.
(c) Aspek fizikal, psikologi dan neurologi mempengaruhi proses pendengaran.
(d) Pendengaran berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara
berperingkat-peringkat.
(e) Pendengaran harus berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan.
(f) Pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan.
(g) Pendengaran untuk mengkritik memerlukan pendengaran yang berpusatkan idea utama, hujah-hujah dan bukti-bukti.
(h) Pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.
(i) Pendengaran untuk tujuan hiburan melibatkan tindak balas positif terhadap muzik, kesusasteraan dan lain-lain aspek seni dan estetika.
JENIS DAN PROSES MENDENGAR
Mendengar adalah satu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas
mendengar. Mendengar melibatkan dua proses, iaitu;
(a) Membuat jangkaan
Apabila kita mendengar kita akan membuat jangkaan dalam fikiran terhadap apa yang akan kita dengar seterusnya.
Contohnya, apabila kita mendengar berita tentang banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur, kita akan membuat jangkaan tentang kemungkinan lain yang berkaitan dengan peristiwa tersebut.
(b) Menentukan Tujuan
Untuk menjadi pendengar yang berkesan, seseorang itu perlu mempunyai tujuan tertentu untuk mendengar. Tujuan mendengar mungkin untuk mendapat hiburan, pengetahuan dan maklumat. Sekiranya kita mendengar tanpa tujuan, apa yang didengar itu tidak bermakna.
PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR
Kemahiran mendengar melibatkan dua peringkat kemahiran.
Peringkat pertama ialah menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama.
Contoh :
1. b – p
bagi pagi kibas kipas
baba bapa betis petis
jambi jampi bajak pajak
bawang pawang lobal lopak
2. d – l
dari lari daki laki
ladang lalang dayang layang
dentum lentum dagu lagu
3. s – t
beras berat sari tari
kelas kelat surat tulat
keras kerat kabus kabut
4. g – k
gali kali tegak tekak
geli keli guli kuli
garang karang gaya kaya
Peringkat kedua ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Pemahaman tentang bunyi bahasa bergantung pada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar itu.
Untuk memahami bunyi bahasa, seseorang itu perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman yang berikut;
(a) Pengetahuan tentang sistem bahasa.
(b) Pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar.
(c) Pengetahuan yang sedia ada pada pendengar, seperti fakta dan budaya bahasa
yang didengar serta bagaimana bahasa digunakan. Kemahiran mendengar boleh juga dibahagikan kepada tiga peringkat mengikut perkembangan individu tertentu. Peringkat pertama dikenali sebagai peringkat awal. Pada
peringkat ini beberapa kemahiran mendengar yang perlu dikuasai ialah;
(a) Mengecam, mengajuk dan memilih bunyi.
(b) Mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat.
(c) Melakukan sesuatu yang disuruh.
(d) Menjalankan perintah dan permintaan.
(e) Bertindak terhadap soalan-soalan mudah.
(f) Mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah secara tepat.
Peringkat kedua ialah peringkat pertengahan. Pada peringkat ini beberapa kemahiran yang perlu dikuasai ialah;
(a) Mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci.
(b) Mengenal maklumat khusus.
(c) Mengesan urutan.
(d) Mengenal sebab dan akibat.
(e) Mengenal perhubungan orang–orang yang berinteraksi.
(f) Mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap.
Peringkat ketiga ialah peringkat maju. Pada peringkat ini kemahiran yang perlu dikuasai ialah;
(a) Mengenal isi-isi penting.
(b) Mengetahui peranan dan perhubungan orang yang bercakap.
(c) Memberitahu fungsi tekanan dan intonasi.
(d) Mentafsirkan maksud orang yang bercakap.
(e) Mengikut aliran dalam dialog atau perbualan.
(f) Mencari jalan mengatasi masalah yang didengar.
(g) Mentafsirkan tujuan penutur menggunakan berbagai-bagai bentuk struktur
tatabahasa.
Pelaksanaan aktivtii pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar
Dalam melaksanakan aktiviti mendengar, guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pengajaran berjalan dengan berkesan. Perancangan boleh dilakukan mengikut tiga peringkat yang berikut;
1. peringkat pramendengar
2. peringkat semasa mendengar
3. peringkat selepas mendengar
1. Peringkat pramendengar
• Guru memberi tugasan atau soalan kepada murid sebelum mereka mula
mendengar.
• Guru memberi gambaran yang menyeluruh atau penerangan ringkas tentang
apa yang hendak diperdengarkan.
• Guru memberi arahan yang jelas tentang tugasan dan memastikan bahan
rangsangan dalam keadaan baik serta mencukupi untuk digunakan dalam
aktiviti berkenaan.
• Guru memastikan murid dalam keadaan bersedia untuk mengikuti aktiviti.
2. Peringkat semasa mendengar
• Guru memastikan murid menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan
rangsangan.
• Guru hendaklah mengatasi sebarang gangguan atau masalah yang timbul
secepat mungkin semasa aktiviti mendengar dijalankan.
3. Peringkat selepas mendengar
• Guru menghuraikan tentang apa yang dikemukakan oleh murid dalam bahan
rakaman yang mungkin menyulitkan pemahaman mereka.
• Guru memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bahan itu.
• Guru memastikan murid menyempurnakan tugasan dan membuat pengukuhan.
• Guru menjalankan aktiviti tindakan susulan yang bersesuaian dengan aktiviti
berkenaan.
Peringkat Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik dan kemas.
Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan imaginatif. Peringkat-peringkat kemahiran menulis terdiri daripada;
Peringkat Pramenulis
Murid disediakan dengan aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf dengan kemas dan betul. Latihan otot tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberikan kepada murid. Berikut ialah contoh aktiviti pramenulis:
• Menulis dari kiri ke kanan
• Latihan mewarnakan dari kiri ke kanan.
• Latihan membentuk bulatan di udara, di atas meja, pasir, lantai tanpa menggunakan alat tulis.
• Menyambung titik
• Latihan membentuk corak campuran bulatan dan garisan lurus yang dilakukan secara bebas.
• Latihan membentuk garisan lurus
• Latihan melukis gambar yang mengandungi garis lurus dan bulat.
• Membuat pelbagai jenis garisan atau bentuk
• Melukis gambar
Peringkat Mekanis
Selepas murid-murid melalui peringkat pramenulis, mereka akan melangkah ke peringkat mekanis. Pada peringkat ini, murid-murid diajar menguasai kemahiran membentuk huruf-huruf besar dan kecil dalam abjad. Seterusnya menguasai kemahiran menulis huruf, suku kata, perkataan dan ayat.
Untuk membolehkan murid-murid menguasai kemahiran ini, anda boleh menjalankan aktiviti-aktiviti yang berikut:
• Latihan menulis bentuk-bentuk yang mirip kepada huruf mengikut teknik menulis.
• Latihan menulis huruf berdasarkan gambar-gambar yang mirip kepada bentuk-bentuk huruf tertentu.
• Latihan menekap huruf mengikut acuan huruf yang diperbuat daripada kad yang berlubang.
• Latihan menekap huruf atau perkataan yang ditulis dalam bentuk garis putus-putus.
• Latihan menulis huruf dalam suku kata.
• Latihan melengkapkan huruf pada perkataan bergambar.
• Latihan menamakan gambar-gambar.
• Latihan menyalin frasa atau ayat.
• Latihan menyalin ayat daripada buku.
Peringkat Pelahiran
Pada peringkat ini murid-murid sudah menguasai pelbagai kemahiran seperti kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan mengeja. Mereka sudah boleh menulis pelbagai jenis karangan.
Anda boleh memulakan pengajaran menulis pada peringkat ini dengan jenis-jenis penulisan terkawal, berpandu, separa terkawal, dan separa berpandu. Kemudian mereka boleh didedahkan dengan penulisan bebas dan kreatif.
Pada peringkat ini, murid-murid dapat melahirkan idea dan pendapat tentang pengetahuan serta pengalaman yang telah dilalui. Dalam masa yang sama mereka akan menggunakan kemahiran tatabahasa dan ejaan yang telah mereka kuasai. Mereka juga akan merancang penulisan mereka dengan menggunakan bentuk-bentuk grafik yang sudah dipelajari.
Contoh aktiviti :
KEMAHIRAN MENULIS
• Menulis jawapan pemahaman
• Menulis karangan
• Menulis ayat berdasarkan gambar
• Membina ayat
• Memanjangkan ayat
• Menulis rencana
• Mengisi silang kata
• Melengkapkan ayat.
0 ulasan:
Catat Ulasan