TAJUK 8: KAJIAN
SUKATAN PELAJARAN
PENGENALAN
Proses pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung di dalam kelas ataupun di luar kelas adalah berpandukan
Sukatan Pelajaran yang telah ditetapkan bagi sesuatu mata pelajaran mengikut
tahun pengajian. Tanpa Sukatan Pelajaran
guru akan menghadapi masalah untuk menentukan tajuk pelajaran, skop
pelajaran, dan kemahiran-kemahiran yang
hendak diajar. Kesan yang paling ketara
adalah guru akan mengajar mengikut
pengetahuan yang dimilikinya bagi sasuatu mata pelajaran atau tajuk dan
hal ini akan mewujudkan ketidakseragaman dalam pengajaran sesuatu mata
pelajaran. Sebab itulah guru
sentiasa merujuk Sukatan Pelajaran dan
berusaha memahirkan diri dalam membaca dan memahami Sukatan Pelajaran bagi mata
pelajaran yang diajar.
Tajuk ini akan membincangkan tentang Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran
(PKBP) secara umum dan juga membincangkan Sukatan Pelajaran bagi Komponen Bahasa
Melayu di dalam Sukatan Pelajaran PKBP tersebut secara khusus. Selain itu, tajuk ini juga akan turut membincangkan tentang Rancangan Pengajaran Semester dan
Rancangan Pengajaran Individu (RPI).
Tajuk berkaitan Sukatan Pelajaran ada
dibincangkan dalam Modul OUM di bawah
subjek Prinsip Teknologi Pengajaran.
Anda diharap dapat merujuk modul tersebut untuk mendapat gambaran yang lebih jelas
tentang Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pengajaran. Manakala tajuk ini akan lebih tertumpu kepada
Sukatan Pelajaran PKBP dengan memberi tumpuan kepada Sukatan Pelajaran Komponen
Bahasa Melayu.
Tajuk ini adalah tertumpu kepada
Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran dan menggunakan
keseluruhan sukatan tersebut sebagai sumber rujukan. Oleh itu adalah perlu anda memiliki sebuah
Sukatan Pelajaran PKBP untuk rujukan pada masa sekarang dan juga untuk kegunaan
semasa anda m,engajar nanti.
OBJEKTIF
Pada akhir tajuk ini, anda akan dapat:
1.
Menghuraikan kandungan Sukatan Pelajaran PKBP
2.
Menghuraikan komponen-komponen dalam Sukatan Pelajaran
PKBP
3.
Menjelaskan
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu PKBP
4.
Membina Rancangan
Semester dan Rancangan Pengajaran Individu (RPI)
GAMBARAN KESELURUHAN
TAJUK
KAJIAN SUKATAN
PELAJARAN
Sukatan Pelajaran
Sukatan Pelajaran Rancangan Pengajaran
PKBP Bahasa Melayu
Kandungan SP Kandungan SP Rancangan Semester
Komponen SP Bahasa Melayu Rancangan
Pengajaran
Individu (RPI)
8.1
Sukatan Pelajaran
Bagi
seorang guru, Sukatan Pelajaran bukanlah
satu perkara asing bagi mereka kerana proses pengajaran dan pembelajaran adalah
berpandukan Sukatan Pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Sukatan Pelajaran adalah satu dokumen
bertulis yang dibentuk khas untuk sesuatu mata pelajaran. Tanggungjawab membina Sukatan Pelajaran diletakkan
di bawah Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Bagi Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas iaitu
Masalah Penglihatan, Masalah Pendengaran, dan Masalah Pembelajaran, Sukatan
Pelajaran diletakkan di bawah tanggungjawab dan kawal selia Jabatan Pendidikan
Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Guru
perlu bijak menggunakan Sukatan pelajaran kerana Sukatan Pelajaran merupakan panduan guru untuk mengajar sesuatu
pelajaran. Kemahiran-kemahiran yang
dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran hendaklah ditafsir dan direalisasikan
melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah.
Kemahiran guru menganalisis Sukatan Pelajaran adalah sangat penting supaya
pengajaran dapat dijalankan menepati dengan kehendak Sukatan Pelajaran dan juga
inspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang diterapkan di dalamnya.
Sukatan
Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan
Sekolah Rendah dan juga Sukatan Sekolah Menengah. Sukatan Pelajaran ini
dikenali sebagai Sukatan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Rasional digabungkan kedua-dua peringkat
persekolahan rendah dan menengah ini adalah kerana proses pembelajaran bagi
kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah luwes (flexible) dan berkesinambungan. Guru tidak terikat dengan Sukatan Pelajaran mengikut
tahun pengajian semata-mata untuk mengajar kerana ada pelajar yang tahap
kognitif mereka sangat rendah dan belum dapat menguasai beberapa kemahiran asas
bagi komponen tertentu dalam Sukatan Pelajaran. Oleh itu, guru akan mengajar mereka pada tahap sekolah rendah walaupun mereka
sudah memasuki sekolah menengah.
Latihan
Sukatan
Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan
Sekolah Rendah dan juga Sukatan Sekolah
Menengah. Bincangkan kelebihan dan kelemahan menggabungkan dua peringkat
persekolahan dalam sebuah sukatan pelajaran PKBP tersebut.
8.1.1 Kandungan Sukatan Pelajaran PKBP
Kandungan
Sukatan Pelajar PKBP terdiri daripada perkara berikut:
1.
Pengenalan
2.
Matlamat
3.
Objektif
4.
Model Konseptual
Kurikulum
4.1
Model Konseptual
4.2
Penerangan Model
Konseptual
5.
Pendekatan
Pengajaran dan Pembelajaran
6.
Tempoh Pendidikan
7.
Bahan Kurikulum
8.
Pengurusan Ruang
Pengajaran dan Pembelajaran
9.
Penilaian dan
Rekod Perkembangan dan Kemajuan Murid
10.
Rumusan
11.
Huraian Sukatan
Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran
11.1
Bidang Pengurusan
Kehidupan
11.2
Bidang Akademik
Berfungsi
11.3
Bidang Kerohanian
dan Nilai-nilai Murni
11.4
Bidang Sosial,
Riadah, dan Kreativiti
Bahagian
pengenalan sukatan telah menjelaskan beberapa definisi dan konsep yang
berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Perkara terpenting adalah berkaitan dengan
peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II yang
menyatakan:
”Seseorang
murid dengan keperluan khas adalah boleh
dididik
jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa
bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel
yang
terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai
Kementerian
Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat,
sebagai berupaya mengikuti program
Pendidikan
Kebangsaan layak untuk menghadiri program
Pendidikan khas
kecuali murid-murid yang berikut:
(a) murid yang cacat
anggota tetapi mempunyai
kebolehan mental
untuk belajar seperti murid biasa; dan
(b) murid yang
mempunyai pelbagai kecacatan atau yang
sangat cacat
anggotanya atau yang terencat akal yang
berat.”
Selain itu dijelaskan juga tentang konsep
pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel yang boleh diamalkan oleh guru
pendidikan khas, iaitu:
”...guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik
pengajaran atau
pembelajaran, masa bagi aktiviti dan
susunan aktiviti,
mata pelajaran, dan bahan bantu
mengajar bagi
mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan
Khas.”
Objektif kurikulum PKBP pula adalah seperti
berikut:
i.
mengamalkan tingkah laku dan sikap positif dalam menguruskan kehidupan
seharian yang lebih bermakna serta menjadi warganegara yang berguna;
ii.
mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta dapat berdikari dalam
kehidupan seharian;
iii.
mempunyai kemahiran dan ketrampilan ke arah kehidupan berkerjaya;
iv.
menjaga kesihatan dan keselamatan diri dengan sempurna;
v.
memperkembangkan kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi, berinteraksi,
dan bersosialisasi dengan menepati tatasusila masyarakat majmuk;
vi.
mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian bagi yang
beragama Islam;
vii.
mengamalkan nilai-nilai murni
dalam kehidupan seharian;
viii.
memahami perkembangan jasmani dan menguasai kemahiran motor untuk
melibatkan diri dalam aktiviti riadah;
ix.
mempunyai daya kreativiti dan estetika untuk menghargai keindahan alam
dan warisan budaya; dan
x.
bersedia mengembangkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
seiring dengan perkembangan semasa.
Model Konseptual Kurikulum PKBP menghuraikan tiga prinsip utama pembentukan kurikulum
PKBP, iaitu (1) pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu, (2) pembelajaran yang menggembirakan dan
bermakna,dan (3) pendidikan sepanjang hayat.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran menghuraikan
dengan jelas pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan perkembangan diri,
kebolehan, keupayaan, bakat, minat, serta latar belakang pelajar yang
berbeza-beza. Antara pendekatan
pengajaran yang dibincangkan adalah :
i.
Analisis Tugasan
ii.
Belajar Melalui Bermain
iii.
Pengajaran Bertema
iv.
Pembelajaran Pengalamian
v.
Pembelajaran Masteri, dan
vi.
Pembelajaran Kolaborasi (Kumpulan Pelbagai Disiplin).
Tempoh pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah
pembelajaran juga dijelaskan dalam Sukatan Pelajaran PKBP di bawah Perkara 1(a)
dan Perkara 2 Seksyen 41 bab 8 Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan:
”(1) Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3),
Menteri boleh
melalui
peraturan-peraturan menetapkan:
(a) tempoh pendidikan
rendah dan menengah yang
sesuai dengan
keperluan murid yang menerima
pendidikan khas.”
”(2) Tempoh yang ditetapkan oleh menteri di bawah
Perenggan 1 (a) tidak boleh kurang daripada tempoh
minimum
pendidikan rendah atau menengah,
mengikut
mana-mana yang berkenaan, yang
diperlukan di bawah
akta ini.”
Berkaitan dengan bahan kurikulum, Sukatan Pelajaran
PKBP mencadangkan supaya guru
menggunakan pelbagai bahan jenis bahan kurikulum yang terdiri
daripada bahan guru dan bahan murid.
i.
Bahan guru
Bahan guru adalah bahan untuk
membantu guru membuat perancangan serta melaksanakan aktiviti prgram PKBP. Antara bahan yang digunakan ialah:
a. Kurikulum PKBP
b. Huraian kuriklum PKBP
c. Surat-surat pekeliling
d. Bahan rujukan yang sesuai
seperti buku aktiviti, kamus bergambar, cakera padat berkaian
e. Bahan komputer, OHP, LCD
ii.
Bahan Murid
a. alatan pandang dengar
elektronik dan bukan elektronik
b. alatan terapi
c. alatan muzik
d. alatan rekreasi dan riadah
e. prop untuk main peranan
f. alatan akses kendiri
g. alatan seni dan kraftangan
h. alatan pengurusan diri
i. alatan kemahiran hidup
Selain itu diberikan juga ciri-ciri peralatan yang
digunakan oleh guru dan murid seperti:
a.
mudah guna
b.
interaktif
c.
merangsang perkembangan psikomotor
d.
merangsang perkembangan kognitif murid
e.
membina dan mengukuh emosi positif
f.
merangsang pembentukan sikap positif
g.
kesesuaian dari segi saiz, warna, dan tekstur
h.
mudah ubah suai, tahan lama, dan diguna semula
i.
selamat digunakan
j.
terkini dan berkesan
k.
mesra alam
l.
pelbagai guna
m.
mengukur dan menilai pencapaian murid
n.
bebas daripada toksid
Berkaitan dengan pengurusan ruang pengajaran dan
pembelajaran Sukatan Pelajaran PKBP
mencadangkan supaya diwujudkan stesen pembelajaran mengikut komponen
dalam kurikulum pendidikan khas. Selain
sistem stesen pembelajaran di dalam kelas, proses pengajaran dan pembelajaran
juga boleh dijalankan di luar bilik darjah seperti premis awam pejabat pos, premis pekerjaan seperti kilang,
hotel, atau kedai, di pusat-pusat rekreasi, dan lain-lain lagi.
Sukatan Pelajaran PKBP juga menjelaskan tentang
penilaian dan rekod perkembangan dan kemajuan murid. Penilaian hendaklah dijalankan secara
berterusan mengikut keperluan individu. Antara
bentuk penilaian yang boleh digunakan adalah seperti:
a. Senarai semak
b. Portfolio
c. Ujian rujukan Kriteria (
Rancangan Pendidikan Individu)
d. Penilaian Berasaskan Kurikulum
e. Penilaian Pencapaian
Berdasarkan huraian ringkas Sukatan Pelajaran PKBP
dapatlah difahami bahawa kurikulum PKBP adalah sebagai sumber rujukan kepada guru-guru yang terlibat dalam
mendidik murid berkeperluan khas.
Kurikulum PKBP juga adalah fleksibel, iaitu guru masih boleh menggunakan
kebijaksanaan mengubah suai kaedah, teknik dan aktiviti dan bahan yang sesuai
dengan keupayaan murid yang dididik.
Latihan
Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah stesen? Jelaskan cara kaedah stesen dilaksanakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di kelas PKBP.
8.1.2 Bidang
dan Komponen dalam Sukatan Pelajaran PKBP
Terdapat empat bidang pelajaran dalam Sukatan
Pelajaran PKBP yang merangkumi komponen-komponen
pelajaran tertentu. Perhubungan
antara bidang pelajaran, pendekatan
pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian adalah bersifat interaktif. Bidang-bidang pelajaran dalam Sukatan
Pelajaran PKBP dibahagikan kepada empat dan dipecahkan pula kepada
komponen-komponen pelajaran tertentu seperti berikut:
i. Bidang Pengurusan Kehidupan
a. Komponen Pengurusan Diri
b. Komponen Kemahiran Manipulatif
c. Komponen Pengurusan Tingkah
Laku
d. Komponen Kemahiran Hidup
ii. Bidang Akademik Berfungsi
a. Komponen Bahasa Melayu
b. Komponen Matematik
c. Komponen Bahasa Inggeris
d. Komponen Multimedia
iii.
Bidang Kerohanian dan Nilai-nilai Murni
a. Komponen Pendidikan Agama
Islam
b. Komponen Pendidikan Moral
iv.
Bidang Sosial, Riadah, dan Kreatif
a. Komponen Pendidikan Jasmani
b. Komponen
Pendidikan Seni
c. Komponen Pendidikan Muzik, Gerakan,
dan Drama
d. Komponen
Sains, Sosial, dan alam Sekitar
Komponen Pengurusan Diri
Komponen Pengurusan Diri akan memberi latihan dan kemahiran
perkembangan sosial, hidup berkeluarga, penjagaan diri, perkembangan peribadi,
dan pengurusan rumah tangga. Objektif utama ini adalah bagi membolehkan pelajar
berdikari dan menyediakan diri dalam situasi sebenar.
Komponen Kemahiran Manipulatif
Komponen Kemahiran Manipulatif memberi fokus kepada
perkembangan kefungsian tahap kemahiran motor halus dan pengamatan
pelajar. Komponen ini juga amat penting
untuk membantu pelajar dalam penguasaan 3M (membaca, menulis, dan mengira).
Komponen Pengurusan Tingkah Laku
Komponen ini memberi penekanan dalam menghapuskan
masalah tingkah laku negatif pelajar dan seterusnya memberi pengukuhan kepada
tingkah laku positif yang sedia
ada. Komponen ini juga bertujuan
melatih pelajar mengurus emosi dan
membina keyakinan diri supaya dapat disesuaikan dalam kehidupan masyarakat.
Komponen Kemahiran Hidup
Komponen Kemahiran Hidup memberi fokus kepada
latihan-latihan dan kemahiran untuk membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran
berdikari. Melalui program pengajaran dan pembelajaran pelajar dapat
menjalankan aktiviti-aktiviti seharian dengan lebih yakin.
Komponen Bahasa Melayu
Komponen Bahasa Melayu menyediakan pelajar Pendidikan Khas untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi
bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka ke arah kehidupan yang bermakna.
Komponen Matematik
Komponen Matematik cuba menegaskan penggunaan matematik
di dalam situasi harian dan kerjaya.
Komponen ini meliputi dua aspek iaitu: 1) Matematik Asas (2) Matematik Sosial.
Komponen Bahasa Inggeris
Komponen Bahasa Inggeris adalah untuk membolehkan
pelajar memahami pertuturan Bahasa Inggeris mudah dan berupaya bertutur dan
memberi tindak balas yang jelas dalam
pelbagai situasi.
Komponen Multimedia
Penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti
pengoperasian komputer membolehkan pelajar menyatakan idea dan ekspresi diri. Selain
itu kemahiran teknologi maklumat akan dapat membantu pelajar mencari maklumat untuk
belajar sendiri.
Komponen Pendidikan
Agama Islam
Pendidikan Islam
memberi fokus kepada penyampaian ilmu, kemahiran, dan penghayatan
Islam berdasarkan Al-Qur’an dan
Al-Sunnah. Komponen ini diharap dapat
menyumbang ke arah melahirkan pelajar yang beriman,berilmu, berakhlak mulia,
bertakwa, dan beramal soleh.
Komponen Pendidikan Moral
Pendidikan Moral
Pendidikan Khas memberi fokus kepada penyampaian ilmu untuk menjadikan seseorang insan itu berakhlak
mulia dan bermoral. Komponen ini memberi
fokus kepada aspek pemupukan dan perkembangan nilai-nilai murni dan asas
ketatanegaraan agar pelajar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.
Komponen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Komponen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu untuk
pelajar membina kecergasan fizikal dengan melibatkan diri secara aktif mengikut
kemampuan diri. Kemahiran yang diajar
mampu membentuk keyakinan diri, mengamalkan semangat kerjasama, melahirkan
sikap kepimpinan, dan meningkatkan penjagaan kesihatan.
Komponen Muzik, Gerakan, dan Drama
Komponen ini melibatkan nyanyian, permainan alat-alat
muzik dan pergerakan. Kemahiran yang
dikuasai melalui kurikulum ini akan dapat mengembangkan minat, bakat, dan
potensi pelajar .
Komponen Sains, Sosial, dan alam Sekitar
Komponen ini melibatkan hubungan manusia dengan manusia, perhubungan
dan pengangkutan serta penggunaan pekhidmatan masyarakat. Pelajar diberi pendedahan
tentang pendidikan sosial dan alam sekitar untuk diaplikasikan dalam kehidupan
seharian mereka.
Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang
fleksibel dan bersepadu yang dapat direalisasikan melalui komponen-komponen
kurikulum PKBP, adalah diharap dapat melahirkan
individu berkeperluan khas yang memiliki ciri-ciri yang baik seperti
mampu berdikari, berdisiplin, bersikap positif, bermoral dan beretika,
berkemahiran dan berketrampilan, produktif dan boleh menyumbang kepada
keluarga, masyarakat, dan negara.
Latihan
Melalui kurikulum PKBP kanak-kanak bekeperluan khas
akan dididik supaya boleh berdikari.
Bincangkan bentuk pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
boleh mencapai objektif tersebut.
8.2 Sukatan
Pelajaran Komponen Bahasa Melayu
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dikategorikan di dalam
bidang Akademik Berfungsi. Kurikulum ini
bertujuan untuk menyediakan pelajar
Pendidikan Khas supaya dapat menguasai kecekapan berbahasa dan
berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka. Objektif Komponen Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan
pelajar:
1. mendengar
dan memberi tindak balas kepada pelbagai sumber
2. bertutur
dengan sebutan yang betul dan bertata susila
3. membaca
dan memahami isi bacaan sesuai mengikut perkembangan
dan
kebolehan pelajar
4. menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul
5. melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan
permainan,
penulisan untuk menjalin dan mengeratkan hubungan
berurus
untuk mendapatkan perkhidmatan.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu mengandungi tujuh
kemahiran kesemuanya dan setiap kemahiran terdapat beberapa kemahiran kecil di
bawahnya.
1.0
Mendengar
1.1
mengenal deria pendengaran
1.2
memberi perhatian kepada bunyi-bunyi yang didengar
1.3
mengenal pasti bunyi-bunyi yang didengar
1.4
mengenal pasti arah bunyi
1.5 mendengar dan memberi gerak
balas kepada permintaan, arahan, cerita, dan puisi
1.6 mendengar, mengingat dan
menyatakan semula maklumat, arahan, cerita, dan puisi
1.7 mendengar dan mengesan urutan
perbualan dan cerita
2.0 Bertutur
2.1 mengenal alat pertuturan
2.2 melafazkan pengucapan bertata
susila
2.3 mengajuk bunyi perkataan dan
ayat yang didengar
2.4 bersoal jawab untuk mendapat
maklumat
2.5 menyatakan permintaan mengikut
sesuatu situasi
2.6 menceritakan semula sesuatu
perkara dengan menggunakan perkataan sendiri
2.7 mengambil bahagian dalam
aktiviti yang melibatkan pertuturan mengikut situasi
2.8 melafazkan puisi mudah dengan betul
mengikut sebutan, intonasi dan irama yang sesuai
3.0 Pra
Bacaan
3.1 mengenal persamaan dan
perbezaan dari segi rasa, warna, bentuk, dan saiz
3.2 mengelaskan benda mengikut
jenis dan kumpulan
3.3 mengenal dan mengecam bentuk
huruf pada simbol yang dilihat
4.0 Membaca
4.1 membina dan membaca suku kata
4.2 membina dan membaca perkataan dan rangkai
kata
4.3 menambah perbendaharaan kata
4.4 membaca dan memahami ayat dalam konteks
4.5 membaca dan memahami bahan yang dibaca
4.6 membaca mengikut arah dan cara yang betul
4.7 bercerita
tentang bahan yang dibaca
4.8 membuat kesimpulan/rumusan
4.9 menghayati puisi mudah dengan gaya, sebutan
dan intonasi yang
betul
4.10 memahami dan memberi pendapat
tentang bahan yang dibaca
4.11 membina minat untuk membaca
4.12 memperluaskan minat untuk
membaca
5.0
Pra Tulisan
5.1
menggerakkan tangan tanpa alat tulis
5.2
menggerakkan tangan dengan menggunakan alat tulis dan menulis dalam
kedudukan yang bersesuaian
5.3
melakukan koordinasi mata dan tangan
6.0
Tulisan
6.1
mengenal, menekap, meniru bentuk huruf, suku kata, dan perkataan
6.2
menulis dan menyalin huruf, suku kata, perkataan secara terkawal
6.3
menyalin dan menulis ayat mudah
6.4
melengkapkan perkataan, rangkai kata, dan ayat
6.5
menyusun dan menulis semula perkataan supaya menjadi perkataan yang
betul
6.6
menyusun dan menulis semula rangkai kata supaya menjadi rangkai kata
yang betul
6.7
menyusun dan menulis semula ayat supaya menjadi ayat yang betul
6.8
memanjangkan ayat dengan
menambahkan rangkai kata yang sesuai
6.9
membina ayat
6.10 menulis karangan
6.11 membina minat menulis
6.12 memperluaskan minat menulis
7.0
Komunikasi
7.1
bercerita tentang diri dan persekitaran
7.2
menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan dengan betul, bertata susila
dan bersesuaian dengan konteks
7.3
mengaplikasikan kemahiran berbahasa
menerusi penggunaan teknologi maklumat (ICT)
8.3 Rancangan
Pengajaran
8.3.1 Rancangan Pengajaran Semester
Seseorang guru hendaklah menyediakan rancangan pengajaran
yang lengkap untuk satu tempoh satu tahun dan dibuat dalam bentuk
rancangan penggal atau rancangan
semester. Rancangan penggal atau rancangan
semester ini sangat penting bagi guru kerana membolehkan guru menyusun isi pelajaran dengan teratur
mengikut perkembangan tajuk-tajuk bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Guru akan dapat menganggar peruntukan masa
mengajar supaya tidak berlaku masalah guru tidak mengajar mengikut sukatan
pelajaran, guru tidak menghabiskan sukatan pelajaran, guru mengajar terlalu cepat sehingga semua
tajuk sudah diajar dalam tempoh yang singkat, atau guru tertinggal tajuk-tajuk
tertentu dan guru dipersalahkan apabila tajuk berkenaan disoal dalam
peperiksaan penting (peperiksaan penggal, UPSR, PMR,SPM).
Format rancangan penggal atau rancangan semester adalah bergantung kepada pihak sekolah
masaing-masing. Kebiasaannya format
rancangan semester diselaraskan di peringkat
Pejabat Pendidikan Daerah dan
menjadi tanggungjawab Ketua Panitia mata pelajaran memastikan guru-guru
menggunakan format rancangan semester yang sama. Walau apa sahaja format yang digunakan, perkara penting yang perlu
ada dalam sebuah rancangan semester adalah minggu, tajuk, kemahiran, dan
nilai. Berikut adalah contoh format
standard rancangan semester.
Semester
|
Minggu
|
Tajuk
|
Kemahiran
|
Nilai
|
Catatan
|
Rajah 8.1 Format rancangan pengajaran Semester
Perincian langkah yang guru perlu
ikuti untuk menyediakan rancangan pengajaran dijelaskan secara lebih
perinci dalam modul HBEF3103: Prinsip
Teknologi Pengajaran (m.s. 75).
8.3.2 Rancangan
Pengajaran Individu (RPI)
Apabila mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, guru
hendaklah seboleh-bolehnya mengajar secara individu atau sekurang-kurangnya
dalam kumpulan kecil. Pengajaran secara
individu membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajar
berkenaan. Bagi melaksanakan pengajaran
kepada pelajar berkeperluan khas, guru perlu menyediakan rancangan pengajaran indivdu (RPI) untuk
pelajar tersebut. Secara ringkas RPI merupakan
satu pernyataan bertulis tentang
keperluan pendidikan pelajar serta cara pendidikan khas serta perkhidmatan-perkhidmatan yang
diperlukan akan disediakan kepadanya. Berdasaran
RPI yang telah dibuat dan dipersetujui,
murid berkeperluan khas berhak menerima perkhidmatan-perkhidmatan yang
dinyatakan dalam RPI tersebut.
Kandungan RPI hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai komponen-komponen berikut:
1.
Pencapaian sedia ada (semasa)
Pencapaian
semasa murid menjelaskan tentang kekuatan, kelemahan dalam akademik,
kemahiran-kemahiran tertentu, sosial, tingkah laku, komunikasi, urus diri dan
sebagainya.
2.
Matlamat jangka panjang
Matlamat jangka
panjang menyatakan apa yang diharapkan akan dapat dicapai oleh murid
berkeperluan khas dalam bidang atau kemahiran tertentu. Matlamat perlu dinyatakan dalam bentuk
tingkah laku, dapat diukur, dapat diperhatikan, dan memfokuskan kepada
ketidakupayaan utama yang telah dikenal pasti
bagi murid tersebut.
3.
Objektif jangka pendek
Objektif jangka
pendek menjelaskan langkah-langkah yang berurutan dalam mencapai matlamat
jangka panjang. Objektif juga perlu
dinyatakan dalam bentuk tingkah laku dan
dapat diukur. Pencapaian murid
bagi setiap objektif akan dicatat oleh gurunya.
4.
Penilaian
Penilaian
dilakukan terhadap objektif RPI yang telah ditetapkan untuk menjelaskan
kekerapan murid itu dinilai bagi satu-satu objektif Objektif boleh dinilai setiap hari, setiap
minggu, atau pada tarikh-tarikh tertentu.
Penilaian dapat dilakukan dalam berbagai-bagai cara seperti ujian
pencapaian, temu bual, rekod anekdot, pemerhatian,dan portfolio murid.
Perancangan RPI yang teliti dengan
menetapkan matlamat yang realistik akan dapat membantu murid menguasai
kemahiran-kemahiran yang perlu mereka kuasai.
Laporan penilaian RPI akan membantu guru dan ibu bapa merancang matlamat
jangka panjang seterusnya, membuat pengubahsuaian pembelajaran, dan mencadangkan perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh disediakan bagi murid berkeperluan khas.
Format penulisan RPI mungkin dibuat
dalam berbagai-bagai bentuk mengikut kefahaman seseorang. Namun begitu hal ini
tidak menjadi masalah asalkan format itu memenuhi kesemua aspek penting dalam
sesebuah RPI. Jabatan Pendidikan Khas,
Kementerian Pelajaran Malaysia
telah menerbitkan sebuah buku panduan RPI untuk kegunaan guru-guru kelas
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.
Berikut adalah contoh format penulisan RPI untuk mata pelajaran Bahasa
Melayu bagi seorang murid PKBP.
RANCANGAN PENDIDIKAN
INDIVIDU
Nama murid :
………………………................................
Mata pelajaran : ………………………… Tarikh lahir:
.................................
Tarikh mula
:..................................... Tarikh semak : ...........................
Pengetahuan
sedia ada :
......................................................................................
Matlamat :
.......................................................................................
......................................................................................
OBJEKTIF
|
STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
|
PENILAIAN
|
CATATAN
|
Disediakan oleh, Disemak oleh, Disahkan
oleh,
................................ ....................................
..............................
( Nama Guru Kelas ) ( Nama Peyelaras ) ( Nama Guru Besar )
Rajah 8.2: Format Rancangan Pengajaran Individu
Latihan
Jelaskan
kelebihan pengajaran secara individu kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
8.4 Kesimpulan
Sukatan
Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah
Menengah sudah cukup untuk memenuhi keperluan pendidikan pelajar bermasalah pembelajaran. Kandungan Sukatan Pelajaran ini adalah
menyeluruh dan meliputi aspek akademik, kemahiran,sosial, emosi , dan nilai
murni. Pengajaran dan pembelajaran adalah fleksibel mengikut keupayaan dan
kebolehan pelajar.
Rumusan
1. Proses
pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas ataupun di luar
kelas adalah berpandukan Sukatan Pelajaran yang telah ditetapkan bagi sesuatu
mata pelajaran mengikut tahun pengajian.
2. Kemahiran-kemahiran
yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran hendaklah ditafsir dan direalisasikan
melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah.
3. Sukatan
Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan
Sekolah Rendah dan juga Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah. Sukatan Pelajaran
ini dikenali sebagai Sukatan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.
4. Terdapat
empat bidang pelajaran dalam Sukatan Pelajaran PKBP yang
merangkumi komponen-komponen
pelajaran tertentu.
5. Seseorang
guru hendaklah menyediakan rancangan pengajaran yang
lengkap untuk satu tempoh satu
tahun dan dibuat dalam bentuk rancangan
penggal atau rancangan semester
6. Apabila mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, guru
hendaklah seboleh-bolehnya mengajar secara individu atau sekurang-kurangnya
dalam kumpulan kecil.
7. RPI merupakan satu
pernyataan bertulis tentang keperluan pendidikan pelajar serta cara
pendidikan khas serta
perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan akan disediakan kepadanya
Kata Kunci
Model konseptual
Manipulatif
Fleksibel
Akademik berfungsi
Rujukan
Jabatan Pendidikan
khas,Kementerian Pelajaran Malaysia, (2000). Buku
Panduan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) Murid-murid Berkeperluan Khas.
Jabatan Pendidikan khas,Kementerian
Pelajaran Malaysia, (2003). Sukatan
Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan menengah.
Universiti Terbuka Malaysia
(OUM), Modul
HBEF3103: Prinsip teknologi Pengajaran.
0 ulasan:
Catat Ulasan