Selasa, 25 September 2012


TAJUK  8:     KAJIAN  SUKATAN  PELAJARAN


PENGENALAN


Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas ataupun di luar kelas adalah berpandukan Sukatan Pelajaran yang telah ditetapkan bagi sesuatu mata pelajaran mengikut tahun pengajian.  Tanpa Sukatan Pelajaran guru akan menghadapi masalah untuk menentukan tajuk pelajaran, skop pelajaran,  dan kemahiran-kemahiran yang hendak diajar.  Kesan yang paling ketara adalah guru akan mengajar mengikut  pengetahuan yang dimilikinya bagi sasuatu mata pelajaran atau tajuk dan hal ini akan mewujudkan ketidakseragaman dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran.  Sebab itulah guru sentiasa  merujuk Sukatan Pelajaran dan berusaha memahirkan diri dalam membaca dan memahami Sukatan Pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar.

Tajuk ini akan membincangkan tentang  Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) secara umum dan juga membincangkan Sukatan Pelajaran bagi Komponen Bahasa Melayu di dalam Sukatan Pelajaran PKBP tersebut secara khusus. Selain itu,  tajuk ini juga akan turut membincangkan  tentang Rancangan Pengajaran Semester dan Rancangan Pengajaran Individu (RPI). 

Tajuk berkaitan Sukatan Pelajaran ada dibincangkan dalam Modul OUM  di bawah subjek Prinsip Teknologi Pengajaran.  Anda diharap dapat merujuk modul tersebut  untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang Sukatan Pelajaran dan Rancangan Pengajaran.  Manakala tajuk ini akan lebih tertumpu kepada Sukatan Pelajaran PKBP dengan memberi tumpuan kepada Sukatan Pelajaran Komponen Bahasa Melayu.

Tajuk ini adalah tertumpu kepada Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran dan menggunakan keseluruhan sukatan tersebut sebagai sumber rujukan.  Oleh itu adalah perlu anda memiliki sebuah Sukatan Pelajaran PKBP untuk rujukan pada masa sekarang dan juga untuk kegunaan semasa anda m,engajar nanti.


OBJEKTIF


Pada akhir tajuk ini, anda akan dapat:

1.            Menghuraikan kandungan Sukatan Pelajaran PKBP

2.            Menghuraikan komponen-komponen dalam Sukatan Pelajaran PKBP

3.            Menjelaskan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu PKBP

4.            Membina Rancangan Semester dan Rancangan Pengajaran Individu (RPI)



GAMBARAN  KESELURUHAN  TAJUK



KAJIAN  SUKATAN  PELAJARAN






Sukatan Pelajaran          Sukatan Pelajaran           Rancangan Pengajaran
PKBP                               Bahasa Melayu




Kandungan  SP                 Kandungan SP                        Rancangan Semester
Komponen   SP                 Bahasa Melayu                       Rancangan  Pengajaran
                                                                                          Individu (RPI)




8.1     Sukatan Pelajaran


Bagi seorang guru,  Sukatan Pelajaran bukanlah satu perkara asing bagi mereka kerana proses pengajaran dan pembelajaran adalah berpandukan Sukatan Pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya.  Sukatan Pelajaran adalah satu dokumen bertulis yang dibentuk khas untuk sesuatu mata pelajaran.  Tanggungjawab membina Sukatan Pelajaran diletakkan di bawah Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.  Bagi Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas iaitu Masalah Penglihatan, Masalah Pendengaran, dan Masalah Pembelajaran, Sukatan Pelajaran diletakkan di bawah tanggungjawab dan kawal selia Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Guru perlu bijak menggunakan Sukatan pelajaran kerana Sukatan Pelajaran  merupakan panduan guru untuk mengajar sesuatu pelajaran.  Kemahiran-kemahiran yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran hendaklah ditafsir dan direalisasikan melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah. Kemahiran guru menganalisis Sukatan Pelajaran adalah sangat penting supaya pengajaran dapat dijalankan menepati dengan kehendak Sukatan Pelajaran dan juga inspirasi Falsafah Pendidikan Negara yang diterapkan di dalamnya.


Sukatan Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan Sekolah Rendah dan juga Sukatan Sekolah Menengah. Sukatan Pelajaran ini dikenali sebagai Sukatan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran  Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.  Rasional digabungkan kedua-dua peringkat persekolahan rendah dan menengah ini adalah kerana proses pembelajaran bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran adalah luwes (flexible) dan  berkesinambungan.  Guru tidak terikat dengan Sukatan Pelajaran mengikut tahun pengajian semata-mata untuk mengajar kerana ada pelajar yang tahap kognitif mereka sangat rendah dan belum dapat menguasai beberapa kemahiran asas bagi komponen tertentu dalam Sukatan Pelajaran. Oleh itu,  guru akan  mengajar mereka  pada tahap sekolah rendah walaupun mereka sudah memasuki sekolah menengah.


Latihan

Sukatan Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan Sekolah Rendah dan juga Sukatan  Sekolah Menengah. Bincangkan kelebihan dan kelemahan menggabungkan dua peringkat persekolahan dalam sebuah sukatan pelajaran PKBP tersebut.


8.1.1   Kandungan Sukatan Pelajaran PKBP

Kandungan Sukatan Pelajar PKBP terdiri daripada perkara berikut:

1.    Pengenalan
2.    Matlamat
3.    Objektif
4.    Model Konseptual Kurikulum
4.1   Model Konseptual
4.2   Penerangan Model Konseptual
5.    Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran
6.    Tempoh Pendidikan
7.    Bahan Kurikulum
8.    Pengurusan Ruang Pengajaran dan Pembelajaran
9.    Penilaian dan Rekod Perkembangan dan Kemajuan Murid
10. Rumusan
11. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran

11.1              Bidang Pengurusan Kehidupan
11.2              Bidang Akademik Berfungsi
11.3              Bidang Kerohanian dan Nilai-nilai Murni
11.4              Bidang Sosial, Riadah, dan Kreativiti


Bahagian pengenalan sukatan telah menjelaskan beberapa definisi dan konsep yang berkaitan dengan pendidikan kanak-kanak bermasalah pembelajaran.  Perkara terpenting adalah berkaitan dengan peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 Bahagian II yang menyatakan:

            ”Seseorang murid dengan keperluan khas adalah boleh
            dididik jika dia mampu untuk mengurus diri sendiri tanpa
            bergantung kepada orang lain dan disahkan oleh panel
            yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai
Kementerian Pendidikan dan pegawai Jabatan Kebajikan
Masyarakat, sebagai berupaya mengikuti program
Pendidikan Kebangsaan layak untuk menghadiri program
Pendidikan khas kecuali murid-murid yang berikut:
           
(a)   murid yang cacat anggota tetapi mempunyai
kebolehan mental untuk belajar seperti  murid biasa; dan

(b)   murid yang mempunyai pelbagai kecacatan atau yang
sangat cacat anggotanya atau yang terencat akal yang
berat.”


Selain itu dijelaskan juga tentang konsep pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel yang boleh diamalkan oleh guru pendidikan khas, iaitu:

            ”...guru-guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik
pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan
susunan aktiviti, mata  pelajaran,  dan bahan bantu
mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat Pendidikan
Khas.”


Objektif kurikulum PKBP pula adalah seperti berikut:

i.              mengamalkan tingkah laku dan sikap positif dalam menguruskan kehidupan seharian yang lebih bermakna serta menjadi warganegara yang berguna;
ii.            mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran serta dapat berdikari dalam kehidupan seharian;
iii.           mempunyai kemahiran dan ketrampilan ke arah kehidupan berkerjaya;
iv.           menjaga kesihatan dan keselamatan diri dengan sempurna;
v.            memperkembangkan kemahiran berbahasa untuk berkomunikasi, berinteraksi, dan bersosialisasi dengan menepati tatasusila masyarakat majmuk;
vi.           mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian bagi yang beragama Islam;
vii.          mengamalkan nilai-nilai  murni dalam  kehidupan seharian;
viii.        memahami perkembangan jasmani dan menguasai kemahiran motor untuk melibatkan diri dalam aktiviti riadah;
ix.           mempunyai daya kreativiti dan estetika untuk menghargai keindahan alam dan warisan budaya; dan
x.            bersedia mengembangkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi seiring dengan perkembangan  semasa.


Model Konseptual Kurikulum PKBP menghuraikan  tiga prinsip utama pembentukan kurikulum PKBP, iaitu (1) pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu, (2)  pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna,dan (3) pendidikan sepanjang hayat.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran menghuraikan dengan jelas pendekatan-pendekatan yang sesuai dengan perkembangan diri, kebolehan, keupayaan, bakat, minat, serta latar belakang pelajar yang berbeza-beza.  Antara pendekatan pengajaran yang dibincangkan adalah :

i.              Analisis Tugasan
ii.            Belajar Melalui Bermain
iii.           Pengajaran Bertema
iv.           Pembelajaran Pengalamian
v.            Pembelajaran Masteri, dan
vi.           Pembelajaran Kolaborasi (Kumpulan Pelbagai Disiplin).


Tempoh pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran juga dijelaskan dalam Sukatan Pelajaran PKBP di bawah Perkara 1(a) dan Perkara 2 Seksyen 41 bab 8 Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan:

            ”(1)  Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), Menteri boleh
                   melalui peraturan-peraturan menetapkan:

(a)  tempoh pendidikan rendah dan menengah yang
sesuai dengan keperluan murid yang menerima
pendidikan khas.”

            ”(2)  Tempoh yang ditetapkan oleh menteri di bawah
                    Perenggan 1 (a) tidak boleh  kurang daripada tempoh
        minimum  pendidikan  rendah atau menengah, mengikut
        mana-mana yang berkenaan, yang diperlukan di bawah
        akta ini.”


Berkaitan dengan bahan kurikulum, Sukatan Pelajaran PKBP mencadangkan supaya guru  menggunakan pelbagai bahan jenis bahan kurikulum yang terdiri daripada  bahan guru dan bahan murid.

i.              Bahan guru

Bahan guru adalah bahan untuk membantu guru membuat perancangan serta melaksanakan aktiviti prgram PKBP.  Antara bahan yang digunakan ialah:

a.    Kurikulum PKBP
b.    Huraian kuriklum PKBP
c.    Surat-surat pekeliling
d.    Bahan rujukan yang sesuai seperti buku aktiviti, kamus bergambar, cakera padat berkaian
e.    Bahan komputer, OHP, LCD

ii.            Bahan Murid

a.    alatan pandang dengar elektronik dan bukan elektronik
b.    alatan terapi
c.    alatan muzik
d.    alatan rekreasi dan riadah
e.    prop untuk main peranan
f.     alatan akses kendiri
g.    alatan seni dan kraftangan
h.    alatan pengurusan diri
i.      alatan kemahiran hidup

Selain itu diberikan juga ciri-ciri peralatan yang digunakan oleh guru dan murid seperti:

a.             mudah guna
b.             interaktif
c.              merangsang perkembangan psikomotor
d.             merangsang perkembangan kognitif murid
e.             membina dan mengukuh emosi positif
f.               merangsang pembentukan sikap positif
g.             kesesuaian dari segi saiz, warna, dan tekstur
h.             mudah ubah suai, tahan lama, dan diguna semula
i.               selamat digunakan
j.               terkini dan berkesan
k.              mesra alam
l.               pelbagai guna
m.            mengukur dan menilai pencapaian murid
n.             bebas daripada toksid

Berkaitan dengan pengurusan ruang pengajaran dan pembelajaran Sukatan Pelajaran PKBP  mencadangkan supaya diwujudkan stesen pembelajaran mengikut komponen dalam kurikulum pendidikan khas.   Selain sistem stesen pembelajaran di dalam kelas, proses pengajaran dan pembelajaran juga boleh dijalankan di luar bilik darjah seperti premis awam  pejabat pos, premis pekerjaan seperti kilang, hotel, atau kedai, di pusat-pusat rekreasi, dan lain-lain lagi.


Sukatan Pelajaran PKBP juga menjelaskan tentang penilaian dan rekod perkembangan dan kemajuan murid.  Penilaian hendaklah dijalankan secara berterusan mengikut keperluan individu.  Antara bentuk penilaian yang boleh digunakan adalah seperti:

a.    Senarai semak
b.    Portfolio
c.    Ujian rujukan Kriteria ( Rancangan Pendidikan Individu)
d.    Penilaian Berasaskan Kurikulum
e.    Penilaian Pencapaian


Berdasarkan huraian ringkas Sukatan Pelajaran PKBP dapatlah difahami bahawa kurikulum PKBP adalah sebagai sumber  rujukan kepada guru-guru yang terlibat dalam mendidik murid berkeperluan khas.  Kurikulum PKBP juga adalah fleksibel, iaitu guru masih boleh menggunakan kebijaksanaan mengubah suai kaedah, teknik dan aktiviti dan bahan yang sesuai dengan  keupayaan murid yang dididik.

Latihan

Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah stesen?  Jelaskan cara kaedah stesen dilaksanakan  dalam  proses pengajaran dan pembelajaran di kelas PKBP.




8.1.2   Bidang dan Komponen dalam Sukatan Pelajaran PKBP


Terdapat empat bidang pelajaran dalam Sukatan Pelajaran PKBP  yang merangkumi komponen-komponen pelajaran tertentu.  Perhubungan antara  bidang pelajaran, pendekatan pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian adalah bersifat interaktif.  Bidang-bidang pelajaran dalam Sukatan Pelajaran PKBP dibahagikan kepada empat dan dipecahkan pula kepada komponen-komponen pelajaran tertentu seperti berikut:

i.       Bidang Pengurusan Kehidupan

a.    Komponen Pengurusan Diri
b.    Komponen Kemahiran Manipulatif
c.    Komponen Pengurusan Tingkah Laku
d.    Komponen Kemahiran Hidup

ii.       Bidang Akademik Berfungsi

a.    Komponen Bahasa Melayu
b.    Komponen Matematik
c.    Komponen Bahasa Inggeris
d.    Komponen Multimedia


iii.           Bidang Kerohanian dan Nilai-nilai Murni

a.    Komponen Pendidikan Agama Islam
b.    Komponen Pendidikan Moral

iv.           Bidang Sosial, Riadah, dan Kreatif

a.  Komponen Pendidikan Jasmani   
                        b.  Komponen Pendidikan Seni
c.  Komponen Pendidikan Muzik, Gerakan, dan Drama
                        d.  Komponen Sains, Sosial, dan alam Sekitar


Komponen Pengurusan Diri

Komponen Pengurusan Diri  akan memberi latihan dan kemahiran perkembangan sosial, hidup berkeluarga, penjagaan diri, perkembangan peribadi, dan pengurusan rumah tangga.  Objektif utama ini adalah bagi membolehkan pelajar berdikari dan menyediakan diri dalam situasi sebenar.


Komponen Kemahiran Manipulatif

Komponen Kemahiran Manipulatif memberi fokus kepada perkembangan kefungsian tahap kemahiran motor halus dan pengamatan pelajar.  Komponen ini juga amat penting untuk membantu pelajar dalam penguasaan 3M (membaca, menulis, dan mengira).


Komponen Pengurusan Tingkah Laku

Komponen ini memberi penekanan dalam menghapuskan masalah tingkah laku negatif pelajar dan seterusnya memberi pengukuhan kepada tingkah laku  positif yang sedia ada.  Komponen ini juga  bertujuan melatih pelajar mengurus emosi  dan membina keyakinan diri supaya dapat disesuaikan dalam  kehidupan masyarakat.


Komponen Kemahiran Hidup

Komponen Kemahiran Hidup memberi fokus kepada latihan-latihan dan kemahiran untuk membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran berdikari. Melalui program pengajaran dan pembelajaran pelajar dapat menjalankan aktiviti-aktiviti seharian dengan lebih yakin.


Komponen Bahasa Melayu

Komponen Bahasa Melayu menyediakan pelajar  Pendidikan Khas  untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka ke arah kehidupan yang bermakna.


Komponen Matematik

Komponen Matematik cuba menegaskan penggunaan matematik di dalam situasi harian dan kerjaya.  Komponen ini meliputi dua aspek iaitu: 1) Matematik Asas  (2) Matematik Sosial.

Komponen Bahasa Inggeris

Komponen Bahasa Inggeris adalah untuk membolehkan pelajar memahami pertuturan Bahasa Inggeris mudah dan berupaya bertutur dan memberi tindak balas  yang jelas dalam pelbagai situasi.



Komponen Multimedia

Penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti pengoperasian komputer membolehkan pelajar menyatakan  idea dan ekspresi diri.  Selain  itu kemahiran teknologi maklumat  akan dapat membantu pelajar mencari maklumat untuk belajar sendiri.


Komponen Pendidikan  Agama Islam

Pendidikan Islam  memberi fokus kepada penyampaian ilmu, kemahiran, dan penghayatan Islam  berdasarkan Al-Qur’an dan Al-Sunnah.  Komponen ini diharap dapat menyumbang ke arah melahirkan pelajar yang beriman,berilmu, berakhlak mulia, bertakwa, dan beramal soleh.

Komponen Pendidikan Moral

Pendidikan Moral  Pendidikan Khas memberi fokus kepada penyampaian ilmu untuk   menjadikan seseorang insan itu berakhlak mulia dan bermoral.  Komponen ini memberi fokus kepada aspek pemupukan dan perkembangan nilai-nilai murni dan asas ketatanegaraan agar pelajar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Komponen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Komponen Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu untuk pelajar membina kecergasan fizikal dengan melibatkan diri secara aktif mengikut kemampuan diri.  Kemahiran yang diajar mampu membentuk keyakinan diri, mengamalkan semangat kerjasama, melahirkan sikap kepimpinan, dan meningkatkan penjagaan kesihatan.


Komponen Muzik, Gerakan, dan Drama

Komponen ini melibatkan nyanyian, permainan alat-alat muzik dan pergerakan.  Kemahiran yang dikuasai melalui kurikulum ini akan dapat mengembangkan minat, bakat, dan potensi pelajar .


Komponen Sains, Sosial, dan alam Sekitar

Komponen ini melibatkan  hubungan manusia dengan manusia, perhubungan dan pengangkutan serta penggunaan pekhidmatan masyarakat.  Pelajar diberi pendedahan tentang pendidikan sosial dan alam sekitar untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.


Melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel dan bersepadu yang dapat direalisasikan melalui komponen-komponen kurikulum PKBP, adalah diharap dapat melahirkan  individu berkeperluan khas yang memiliki ciri-ciri yang baik seperti mampu berdikari, berdisiplin, bersikap positif, bermoral dan beretika, berkemahiran dan berketrampilan, produktif dan boleh menyumbang kepada keluarga, masyarakat, dan negara.


Latihan

Melalui kurikulum PKBP kanak-kanak bekeperluan khas akan dididik supaya boleh berdikari.  Bincangkan bentuk pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang boleh mencapai objektif tersebut.


8.2       Sukatan Pelajaran Komponen Bahasa Melayu

Sukatan  Pelajaran Bahasa Melayu dikategorikan di dalam bidang Akademik Berfungsi.  Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan pelajar  Pendidikan Khas supaya dapat menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka.  Objektif Komponen Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan pelajar:

1.         mendengar dan memberi tindak balas kepada pelbagai sumber

2.         bertutur dengan sebutan yang betul dan bertata susila

3.         membaca dan memahami isi bacaan sesuai mengikut perkembangan
           dan kebolehan pelajar

4.        menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul

5.        melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan
           permainan, penulisan untuk menjalin dan mengeratkan hubungan  
           berurus untuk mendapatkan perkhidmatan.


Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu mengandungi tujuh kemahiran kesemuanya dan setiap kemahiran terdapat beberapa kemahiran kecil di bawahnya.

1.0  Mendengar

1.1   mengenal deria pendengaran
1.2   memberi perhatian kepada bunyi-bunyi yang didengar
1.3   mengenal pasti bunyi-bunyi yang didengar
1.4   mengenal pasti arah bunyi
1.5   mendengar dan memberi gerak balas kepada permintaan, arahan, cerita, dan puisi
1.6   mendengar, mengingat dan menyatakan semula maklumat, arahan, cerita, dan puisi
1.7   mendengar dan mengesan urutan perbualan dan cerita

2.0   Bertutur

2.1   mengenal alat pertuturan
2.2   melafazkan pengucapan bertata susila
2.3   mengajuk bunyi perkataan dan ayat yang didengar
2.4   bersoal jawab untuk mendapat maklumat
2.5   menyatakan permintaan mengikut sesuatu situasi
2.6   menceritakan semula sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan sendiri
2.7   mengambil bahagian dalam aktiviti yang melibatkan pertuturan mengikut situasi
2.8   melafazkan puisi mudah dengan betul mengikut sebutan, intonasi dan irama yang sesuai

3.0  Pra Bacaan

3.1    mengenal persamaan dan perbezaan dari segi rasa, warna, bentuk, dan saiz
3.2    mengelaskan benda mengikut jenis dan kumpulan
3.3    mengenal dan mengecam bentuk huruf pada simbol yang dilihat


4.0       Membaca
           
4.1       membina dan membaca suku kata
4.2       membina dan membaca perkataan dan rangkai kata
4.3       menambah perbendaharaan kata
4.4       membaca dan memahami ayat dalam konteks
4.5       membaca dan memahami bahan yang dibaca
4.6       membaca mengikut arah dan cara yang betul
4.7       bercerita tentang bahan yang dibaca
4.8       membuat kesimpulan/rumusan
4.9       menghayati puisi mudah dengan gaya, sebutan dan intonasi yang   
           betul
4.10      memahami dan memberi pendapat tentang bahan yang dibaca
4.11      membina minat untuk membaca
4.12      memperluaskan minat untuk membaca


5.0         Pra Tulisan

5.1         menggerakkan tangan tanpa alat tulis
5.2         menggerakkan tangan dengan menggunakan alat tulis dan menulis dalam kedudukan yang bersesuaian
5.3         melakukan koordinasi mata dan tangan


6.0         Tulisan

6.1         mengenal, menekap, meniru bentuk huruf, suku kata, dan perkataan
6.2         menulis dan menyalin huruf, suku kata, perkataan secara terkawal
6.3         menyalin dan menulis ayat mudah
6.4         melengkapkan perkataan, rangkai kata, dan ayat
6.5         menyusun dan menulis semula perkataan supaya menjadi perkataan yang betul
6.6         menyusun dan menulis semula rangkai kata supaya menjadi rangkai kata yang betul
6.7         menyusun dan menulis semula ayat supaya menjadi ayat yang betul
6.8         memanjangkan  ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai
6.9         membina ayat
6.10      menulis karangan
6.11      membina minat menulis
6.12      memperluaskan minat menulis

7.0         Komunikasi

7.1         bercerita tentang diri dan persekitaran
7.2         menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan dengan betul, bertata susila dan bersesuaian dengan konteks
7.3         mengaplikasikan kemahiran berbahasa  menerusi penggunaan teknologi maklumat (ICT)



8.3       Rancangan Pengajaran


8.3.1     Rancangan Pengajaran Semester


Seseorang guru hendaklah menyediakan rancangan pengajaran yang lengkap untuk satu tempoh satu tahun dan dibuat dalam bentuk rancangan  penggal atau rancangan semester.  Rancangan penggal atau rancangan semester ini sangat penting bagi guru kerana membolehkan guru  menyusun isi pelajaran dengan teratur mengikut perkembangan tajuk-tajuk bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar.  Guru akan dapat menganggar peruntukan masa mengajar supaya tidak berlaku masalah guru tidak mengajar mengikut sukatan pelajaran, guru tidak menghabiskan sukatan pelajaran,  guru mengajar terlalu cepat sehingga semua tajuk sudah diajar dalam tempoh yang singkat, atau guru tertinggal tajuk-tajuk tertentu dan guru dipersalahkan apabila tajuk berkenaan disoal dalam peperiksaan penting (peperiksaan penggal, UPSR, PMR,SPM).


Format  rancangan penggal atau rancangan semester  adalah bergantung kepada pihak sekolah masaing-masing.  Kebiasaannya format rancangan semester diselaraskan di peringkat  Pejabat Pendidikan Daerah dan  menjadi tanggungjawab Ketua Panitia mata pelajaran memastikan guru-guru menggunakan format rancangan semester yang sama.  Walau apa sahaja format  yang digunakan, perkara penting yang perlu ada dalam sebuah rancangan semester adalah minggu, tajuk, kemahiran, dan nilai.  Berikut adalah contoh format standard rancangan semester.
                          




Semester

Minggu
Tajuk
Kemahiran
Nilai
Catatan




                                                    











Rajah 8.1 Format rancangan pengajaran Semester


Perincian langkah yang  guru perlu  ikuti untuk menyediakan rancangan pengajaran dijelaskan secara lebih perinci dalam modul HBEF3103:  Prinsip Teknologi Pengajaran (m.s. 75).


8.3.2   Rancangan Pengajaran Individu (RPI)

Apabila mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, guru hendaklah seboleh-bolehnya mengajar secara individu atau sekurang-kurangnya dalam kumpulan kecil.  Pengajaran secara individu membolehkan guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajar berkenaan.  Bagi melaksanakan pengajaran kepada pelajar berkeperluan khas, guru perlu menyediakan  rancangan pengajaran indivdu (RPI) untuk pelajar tersebut.  Secara ringkas RPI merupakan  satu pernyataan bertulis tentang keperluan pendidikan pelajar serta cara pendidikan  khas serta perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan akan disediakan kepadanya. Berdasaran RPI yang telah dibuat dan  dipersetujui, murid berkeperluan khas berhak menerima perkhidmatan-perkhidmatan yang dinyatakan dalam RPI tersebut.


Kandungan RPI hendaklah  sekurang-kurangnya  mempunyai komponen-komponen berikut:

1.    Pencapaian sedia ada (semasa)

Pencapaian semasa murid menjelaskan tentang kekuatan, kelemahan dalam akademik, kemahiran-kemahiran tertentu, sosial, tingkah laku, komunikasi, urus diri dan sebagainya. 

2.    Matlamat jangka panjang

Matlamat jangka panjang menyatakan apa yang diharapkan akan dapat dicapai oleh murid berkeperluan khas dalam bidang atau kemahiran tertentu.  Matlamat perlu dinyatakan dalam bentuk tingkah laku, dapat diukur, dapat diperhatikan, dan memfokuskan kepada ketidakupayaan utama yang telah dikenal pasti  bagi murid tersebut.

3.    Objektif jangka pendek

Objektif jangka pendek menjelaskan langkah-langkah yang berurutan dalam mencapai matlamat jangka panjang.  Objektif juga perlu dinyatakan dalam bentuk tingkah laku dan  dapat diukur.  Pencapaian murid bagi setiap objektif akan dicatat oleh gurunya.

4.    Penilaian

Penilaian dilakukan terhadap objektif RPI yang telah ditetapkan untuk menjelaskan kekerapan murid itu dinilai bagi satu-satu objektif   Objektif boleh dinilai setiap hari, setiap minggu, atau pada tarikh-tarikh tertentu.  Penilaian dapat dilakukan dalam berbagai-bagai cara seperti ujian pencapaian, temu bual, rekod anekdot, pemerhatian,dan portfolio murid.


Perancangan RPI yang teliti dengan menetapkan matlamat yang realistik akan dapat membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran yang perlu mereka kuasai.  Laporan penilaian RPI akan membantu guru dan ibu bapa merancang matlamat jangka panjang seterusnya, membuat pengubahsuaian  pembelajaran, dan mencadangkan  perkhidmatan-perkhidmatan  yang boleh disediakan  bagi murid berkeperluan khas.

Format penulisan RPI mungkin dibuat dalam berbagai-bagai bentuk mengikut kefahaman seseorang. Namun begitu hal ini tidak menjadi masalah asalkan format itu memenuhi kesemua aspek penting dalam sesebuah RPI.  Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menerbitkan sebuah buku panduan RPI untuk kegunaan guru-guru kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran.  Berikut adalah contoh format penulisan RPI untuk mata pelajaran Bahasa Melayu bagi seorang murid PKBP.




RANCANGAN  PENDIDIKAN  INDIVIDU


Nama murid              :  ………………………................................

Mata pelajaran          : …………………………     Tarikh lahir: .................................

Tarikh mula              :.....................................      Tarikh semak :  ...........................

Pengetahuan sedia ada :  ......................................................................................

Matlamat                           :  .......................................................................................

                                              ......................................................................................

OBJEKTIF
STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
PENILAIAN
CATATAN

















      Disediakan oleh,                        Disemak oleh,                                  Disahkan oleh,


   ................................                      ....................................                     ..............................
(   Nama Guru Kelas    )                   ( Nama Peyelaras )                          ( Nama Guru Besar )

  
                               Rajah 8.2:  Format Rancangan Pengajaran Individu
Latihan

Jelaskan kelebihan pengajaran secara individu kepada kanak-kanak berkeperluan khas.


8.4       Kesimpulan

Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah sudah cukup untuk memenuhi keperluan pendidikan  pelajar bermasalah pembelajaran.  Kandungan Sukatan Pelajaran ini adalah menyeluruh dan meliputi aspek akademik, kemahiran,sosial, emosi , dan nilai murni.  Pengajaran dan pembelajaran adalah fleksibel mengikut keupayaan dan kebolehan pelajar.


Rumusan

1.         Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam kelas ataupun di luar kelas adalah berpandukan Sukatan Pelajaran yang telah ditetapkan bagi sesuatu mata pelajaran mengikut tahun pengajian.

2.         Kemahiran-kemahiran yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran hendaklah ditafsir dan direalisasikan melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam atau di luar bilik darjah.

3.         Sukatan Pelajaran bagi Pendidikan Bermasalah Pembelajaran digabungkan antara Sukatan Sekolah Rendah dan juga Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah. Sukatan Pelajaran ini dikenali sebagai Sukatan Pelajaran Bermasalah Pembelajaran  Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. 

4.         Terdapat empat bidang pelajaran dalam Sukatan Pelajaran PKBP  yang
merangkumi komponen-komponen pelajaran tertentu. 

5.         Seseorang guru hendaklah menyediakan rancangan pengajaran yang
lengkap untuk satu tempoh satu tahun dan dibuat dalam bentuk rancangan  penggal atau rancangan semester

6.         Apabila mengajar kanak-kanak berkeperluan khas, guru hendaklah seboleh-bolehnya mengajar secara individu atau sekurang-kurangnya dalam kumpulan kecil.

7.         RPI merupakan  satu pernyataan bertulis tentang keperluan pendidikan pelajar serta cara pendidikan  khas serta perkhidmatan-perkhidmatan yang diperlukan akan disediakan kepadanya

Kata Kunci

Model konseptual
Manipulatif
Fleksibel                                           
Akademik berfungsi


Rujukan

Jabatan Pendidikan khas,Kementerian Pelajaran Malaysia, (2000).  Buku Panduan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) Murid-murid Berkeperluan Khas.
Jabatan Pendidikan khas,Kementerian Pelajaran Malaysia, (2003). Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan menengah.

Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Modul HBEF3103:  Prinsip teknologi Pengajaran.